TAPAH - Seorang lelaki maut selepas kereta yang dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di KM 339.9, Lebuhraya Utara-Selatan arah utara di sini semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 6 petang itu, G Karthigesan, 25, yang berasal dari Sungai Petani, Kedah, maut akibat kecederaan parah.
Ketua Polis Daerah Tapah, Superintendan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, mangsa yang memandu kereta jenis Volkswagen Polo Sedan dalam perjalanan menuju ke Sungai Petani.
"Mangsa memandu dari arah Kuala Lumpur dan apabila sampai di tempat kejadian, keretanya dipercayai telah hilang kawalan sebelum terbabas ke bahu kiri jalan.
"Dalam kemalangan itu, mangsa mengalami kecederaan parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian,” katanya.
Menurutnya, mayat mangsa dibawa ke Hospital Tapah untuk dibedah siasat.
"Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.