PORT DICKSON - Tiga lelaki yang ditahan kerana melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Batu 6, Jalan Seremban-Port Dickson semalam didapati positif dadah.
Ketua Polis daerah Port Dickson, Superintendan Aidi Sham Mohamed berkata, suspek berusia 26 hingga 37 tahun itu ditahan pada jam 10.45 pagi ketika anggota unit kereta peronda (MPV) melakukan penugasan Ops Covid-19.
Iklan
Iklan
Menurutnya, hasil pemeriksaan polis menemui tiga paket plastik lutsinar yang mengandungi ketulan disyaki dadah jenis heroin anggaran berat 2.80 gram dan dua paket plastik lutsinar berisi bahan disyaki dadah jenis syabu dengan anggaran berat 1.20 gram.
"Kesemua suspek bersama barang rampasan dibawa balik ke Pejabat Narkotik Ibu Pejabat Polis (IPD) Port Dickson untuk tindakan selanjutnya.
"Hasil ujian saringan air kencing mendapati mereka positif dadah jenis methamphetamine dan morfin. Semakan juga mendapati dua daripada mereka mempunyai beberapa rekod lampau berkaitan dadah,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aidi Sham berkata, semua suspek dibawa ke Mahkamah Majistret Port Dickson hari ini untuk proses permohonan reman.
"Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 39 A (1), 12 (2), 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Peraturan 11 (PKP) Akta 342," katanya.