MARAN - Seorang wanita warga emas berjaya diselamatkan selepas rumahnya di Kampung Sembai, Kertau dekat Chenor di sini terbakar awal pagi tadi.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 pagi itu, mangsa Hamidah Zainuddin, 78, yang tinggal seorang diri di rumah berkenaan diselamatkan oleh jiran mangsa selepas menyedari kejadian tersebut.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Maran, Penolong Penguasa Bomba Shamsul Affendy Sulaiman berkata, seramai lapan anggota dengan kekuatan logistik sebuah jentera pemadam (FRT) dan Unit Bantuan Kecemasan (EMRS) bergegas ke lokasi kejadian selepas menerima panggilan.
Menurutnya, sebaik tiba di tempat kejadian didapati sebuah rumah dengan keluasan 20x30 kaki persegi telah terbakar.
"Operasi pemadaman menggunakan satu aliran salur bantu mula air tangki pam jentera. Anggaran kemusnahan adalah 100 peratus.
"Terdapat seorang mangsa wanita warga emas telah berjaya diselamatkan oleh orang awam. Mangsa selamat dan tidak mengalami sebarang kecederaan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Katanya, kebakaran berjaya dikawal pada jam 1.56 pagi dan operasi tamat pada jam 2.29 pagi.
"Punca kejadian dan jumlah kerugian masih dalam siasatan," katanya.