PEKAN – Pemasyhuran Sultan Pahang, Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al Mustafa Billah Shah Sultan Ahmad Shah, disambut rakyat dengan penuh gembira.
Ahli Parlimen Maran, Datuk Seri Abdul Muttalib berkata, ini kerana Sultan Abdullah merupakan seorang raja yang berkeperibadian tinggi dan amat dekat di hati rakyat.
Iklan
Iklan
Menurutnya, di atas keprihatinan baginda terhadap rakyat, pemasyhuran ini tentu sekali menjadi sesuatu yang amat dibanggakan rakyat jelata dan turut mengambil kesempatan merafak sembah di atas pelantikan baginda.
"Sebagai rakyat jati negeri Pahang saya cukup berbangga dengan pelantikan dan pemasyhuran ini. Saya juga berasa amat bertuah kerana tuanku seorang anak raja, yang berdarah raja seperti mana Tuanku Sultan Ahmad Shah, namun merupakan seorang yang prihatin, ramah dan mempunyai keupayaan dalam mentadbir negeri Pahang. Saya yakin baginda akan menjadi seorang raja yang dibanggakan seluruh rakyat,” katanya ketika ditemui di Dewan Mula, Istana Abu Bakar di sini, hari ini.
Pengerusi Chenor Tourism Club yang juga Bekas Adun Chenor, Datuk Mohamed Arifin Awang Ismail berkata, rakyat amat teruja dengan pemasyhuran baginda yang menaiki takhta sebagai Sultan Pahang ke-6.
"Baginda cukup kaya dan masak dengan pengalaman terutama dalam selok-belok pemerintahan negeri. Menjadi Tengku Mahkota lebih dari 40 tahun dan dua kali menjadi Pemangku Raja, tentunya rakyat Pahang amat bertuah bernaung di bawah payung pemerintahan baginda yang cukup dikenali seorang raja yang begitu dekat di jantung hati rakyat.
"Baginda seorang yang mengambil berat nasib dan sentiasa bersama derita dan susah senang rakyat terutama ketika ditimpa bencana seperti banjir,ribut dan kebakaran. Sentuhan dan ambil peduli baginda dan Tengku Puan Pahang serta kerabat di raja amat menyentuh perasaan rakyat jelata dan sifat terasuh oleh Paduka Ayahanda, Sultan Ahmad Shah sebelum ini disertai sifat semula jadi baginda menyemarakkan lagi falsafah istana Pahang ' Raja Rakyat berpisah tiada'... Daulat Tuanku !,” katanya.