PUTRAJAYA - Pemotongan auto debit melalui akaun bank tidak sepatutnya berlaku bagi pinjaman perbankan selari dengan penangguhan bayaran dilakukan oleh institusi perbankan sepanjang enam bulan akan datang.
Menteri Kewangan, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata, moratorium itu berlaku secara automatik seperti yang diumumkan dan penangguhan perlu dibuat dalam tempoh itu.
"Penangguhan automatik..sepatutnya (direct debit) tidak berlaku.
"Patut ditangguhkan namun pihak bank tidak berbincang dengan kementerian," katanya pada sidang media di Kementerian Kewangan di sini hari ini.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai kes peminjam yang masih dikenakan pemotongan pinjaman perbankan secara auto debit melalui akaun bank.
Isu berkenaan tular di media sosial apabila ramai pengguna perbankan dalam talian CIMB yang tampil mendedahkan terdapat transaksi wang secara automatik.
ARTIKEL BERKAITAN: CIMB Bank nafi dakwaan tular di media sosial
Selain transaksi bagi komitmen pembayaran bayaran pinjaman bank yang dibuat, terdapat juga dakwaan berlaku transaksi tidak sah yang tidak diketahui puncanya.
Bagaimanapun CIMB dalam satu kenyataan di Facebook rasmi hari ini berkata, transaksi ‘direct debit’ baru-baru ini merupakan transaksi kad debit sah yang telah dibuat oleh pelanggan.
"Insiden terpencil ini adalah berkenaan dengan transaksi tidak lengkap yang dibuat oleh pelanggan dengan peniaga luar negara seperti langganan atau perkhidmatan penstriman dalam talian.
"Bagaimanapun, transaksi tersebut telah dilabel semula sebagai ‘direct debits’ menyebabkan kekeliruan kepada pelanggan kami," katanya.
Bank berkenaan turut memohon maaf di atas kekeliruan dan akan menghubungi pelanggan terbabit secara langsung.