Perak umum Pakej Rangsangan Ekonomi dalam masa terdekat

Iklan
Ahmad Faizal

IPOH - Kerajaan Perak akan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi negeri itu dalam masa terdekat bagi membantu komuniti perniagaan khususnya pengusaha perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu berkata, usaha merangka pakej rangsangan tersebut telah dimulakan dengan bantuan Kerajaan Persekutuan melalui Kementerian Kewangan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kerajaan negeri amat menghargai keprihatinan komuniti perniagaan dan para pemain industri terhadap langkah melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bagi menghentikan rantaian penularan wabak Covid-19.

"Kita juga telah mengambil langkah proaktif dengan mengadakan perbincangan dengan perwakilan Dewan Perniagaan dan Perindustrian Kebangsaan Malaysia (NCCIM) negeri Perak menerusi sidang video semalam.

Iklan

"Antara langkah awal yang akan diambil susulan sesi perbincangan semalam adalah untuk meneliti semula waktu operasi pasar borong seperti yang telah ditetapkan sepanjang tempoh PKP Fasa Kedua, iaitu di antara jam 4 pagi hingga 10 pagi," katanya dalam kenyatan media, hari ini.

Menurutnya, sidang video yang berlangsung semalam disertai Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Melayu (DPPM) Perak, Datuk Muhammad Muhiyuddin Abdullah; Presiden Dewan Perniagaan dan Perindustrian Cina Perak (PCCCI), Datuk Liew Sew Yee; Penasihat Persatuan Pengilang-pengilang Malaysia (FMM) Perak, Datuk Gan Tack Kong; Presiden Dewan Perniagaan India Perak, Ravi Shankar; dan Pengerusi Persatuan Pemaju Perumahan dan Hartanah Malaysia (REHDA) Perak, Tony Khoo Boon Chuan.

Iklan

Ahmad Faizal berkata, selain itu, kerajaan negeri juga bersetuju untuk memudahcara syarikat-syarikat yang telah mendapat kebenaran daripada Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri meneruskan operasi dalam tempoh pelaksanaan PKP Fasa Kedua sehingga ia ditarik balik.

Dalam pada itu, beliau turut mengarahkan Jawatankuasa Pasukan Petugas Khas Pemudahcara Perniagaan (Pemudah) Perak memainkan peranan proaktif bagi memudahcara urusan dan proses permohonan yang melibatkan bidang kuasa kerajaan negeri.

"Kita akan meneruskan usaha sesi libat urus dengan perwakilan NCCIM dari semasa ke semasa bagi membantu komuniti perniagaan dan pemain industri di Perak yang menjadi penyumbang penting kepada kemakmuran rakyat dan negeri ini.

"Kerajaan juga mengambil maklum tentang kekangan yang sedang dihadapi oleh komuniti perniagaan dan para pemain industri sepanjang tempoh pelaksanaan PKP," katanya.

Beliau berkata, kerajaan Persekutuan sebelum ini telah mengumumkan beberapa langkah penting bagi membantu majikan dan komuniti perniagaan dalam tempoh yang sukar ini.

Jelasnya, menerusi pengumuman Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lalu, komuniti perniagaan dan majikan turut mendapat manfaat.

Antara inisiatif yang diumumkan adalah dana tambahan RM4.5 bilion bagi membantu PKS yang menggaji hampir 65 peratus daripada tenaga kerja tempatan, kemudahan skim jaminan berjumlah RM50 bilion bagi tujuan membiayai keperluan modal kerja, penangguhan pembayaran ansuran cukai pendapatan kepada semua PKS untuk tempoh tiga bulan mulai 1 April, program Khidmat Rundingan Majikan oleh Kumpulan Wang Simpanan Pekerja dan lain-lain lagi.