SHAH ALAM -"Jadikan situasi wabak koronavirus (Covid-19) dan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sebagai ‘hentian sementara’ untuk menilai diri ke arah yang lebih baik,” kata pendakwah, Ustazah Isfadiah Mohd Dasuki.
Beliau berpandangan, jika sebelum ini ramai dalam kalangan kita berasa seolah-olah tertekan dengan situasi yang berlaku, cuba alihkan perasaan tertekan kepada kaedah yang lebih bermanfaat.
"Pada pandangan saya inilah masanya untuk kita ‘pause’ (henti) sekejap. Saya ambil contoh semasa bersolat, kita ada tertibnya begitu jugalah kehidupan.
"Kita 'evaluate' (menilai) balik kerja-kerja yang telah dilakukan sebelum ini, kemudian kita merancang lagi dengan lebih baik dan memberi fokus kepada sesiapa yang lebih memerlukan iaitu keluarga dan diri sendiri.
"Momen di mana kita boleh memberi kembali pada keluarga dan diri sendiri. Sebelum ini kita lupa jaga kesihatan diri, lupa bagi kerehatan pada diri, belai diri kita, lupa nak sujud pada ALLAH SWT dan bermunajat pada-Nya. Inilah masa yang sangat baik untuk kita gunakan dan sibukkan diri dengan perkara sebegini,” katanya kepada Sinar Harian di sini hari ini.
Menurutnya, sebagai umat manusia, kita seharusnya melihat perkara yang berlaku dari sudut yang indah dan bukan sebaliknya.
Dalam masa sama, Isfadiah turut berkongsi mengenai 'ubat' yang dapat mengubati kesedihan dan keresahan, sesuai dengan situasi hari ini.
Jelasnya, ini adalah panduan daripada ALLAH dan dinyatakan dalam al-Quran. Ubatnya adalah bersedekah dan terdapat tiga waktu yang sangat baik di mana ALLAH memberi ketiga-tiga peluang ini kepada hamba-Nya.
"Pertama: Waktu kita berasa sangat kedekut. Cuba lihat keadaan sekarang inilah waktu kita sangat berkira-kira untuk memberi kerana akan terfikirkan adakah cukup untuk aku?
"Kedua: Waktu kita berangan-angan kaya dan ketiga: Waktu kita takut menjadi miskin kerana apabila kita memberi akan rasa kurang dan tak nak bagi.
"Dalam surah al-Baqarah ayat 274, ALLAH telah menjanjikan individu yang menginfakkan hartanya sama ada di malam hari atau siangnya atau secara terangan mempunyai ganjaran paling besar di sisi-Nya,” katanya.
Beliau berkata, bersedekahlah mengikut kemampuan dan ia tidak semestinya dalam bentuk wang semata-mata.
"Sedekah setakat mana yang ada dan tidak semestinya dalam konteks duit boleh jaga dalam bentuk tenaga. Kita bantu menceriakan dan mengharmonikan keadaan sudah cukup.
"Ringankan beban insan yang kita sayang dan bukannya hanya membuang masa dengan tidur semata-mata. Jika ini berlaku, mereka adalah golongan yang tidak menggunakan nikmat yang sedikit untuk perkara yang sangat bermanfaat,” jelasnya.
Isfadiah berkata, renunglah hadis Nabi Muhammad SAW diriwayatkan Imam Ahmad yang bermaksud:"Kalau orang itu tidak pandai bersyukur pada perkara yang sedikit mana mungkin ALLAH akan bagi rezeki yang banyak dan tidak mungkin dia akan mampu mensyukuri sesuatu yang banyak.
"Hadis ini seolah-olah memberi klu kepada kita bahawa ada masanya ALLAH akan bagi dan ALLAH tidak bagi. Dalam situasi ini, bagi individu yang bersabar dan berasa sangat seronok dengan apa yang ALLAH anugerahkan percayalah, selepas ini dia akan mendapat banyak nikmat.
"Ini semua perancangan ALLAH dan Dialah sebaik-baik perancang dan ingatlah apabila badai datang ia bawa pelangi dan jika sabar kita akan jumpa pelangi itu dan kalau banyak gabra, resah gelisah dan merungut kita pasti akan tenggelam dan hilanglah pelangi,” katanya.