KANGAR - Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) bekerjasama dengan Persatuan Komuniti Kebajikan Sukarelawan Negeri Perlis (PVAC) menubuhkan Pusat Agihan dan Aktiviti Sukarelawan di negeri itu.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail merangkap Yang Dipertua MAIPs bertitah, pusat berkenaan adalah inisiatif terbaharu MAIPs bagi menangani penularan pandemik koronavirus (Covid-19) serta pelanjutan tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa dua.
Baginda bertitah, PVAC bernaung bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Perlis dan sentiasa bekerjasama dengan JKM melaksanakan aktiviti kebajikan seperti agihan makanan asas, misi bantuan bencana selain rakan strategik MAIPs dalam penyaluran maklumat dan bantuan kepada masyarakat.
"PVAC kini beroperasi di premis milik MAIPs yang terletak di Kampung Repoh, Kangar akan melestarikan pengagihan bantuan makanan asas di Perlis walaupun selepas berakhirnya krisis Covid-19,” titah baginda.
Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, pusat itu kelak akan berperanan sebagai pusat sehenti bagi sukarelawan kebajikan di Perlis, bawah seliaan MAIPs dan JKM.
"Masyarakat yang memerlukan bantuan boleh hadir atau menyalurkan maklumat melalui sukarelawan PVAC di seluruh Perlis,” titah baginda.
Baginda bertitah, selain menerima peruntukan Kerajaan Negeri Perlis melalui JKM bagi Program Agihan Makanan Asas (PAMA) serta sumbangan MAIPs untuk agihan asnaf, PVAC turut mengalu-alukan sumbangan untuk menjayakan aktiviti kebajikan.
Masyarakat prihatin yang berhasrat membantu boleh menyalurkan sumbangan melalui akaun Persatuan Komuniti Sukarelawan Kebajikan Negeri Perlis 09010010083384 (BIMB) atau melayari laman sosial Facebook https://m.facebook.com/PVACjkmperlis/.