Bakal agih bantuan ke Simpang Renggam

Iklan
Auzani (dua dari kiri) sentiasa memeriksa bekalan peralatan dan kelengkapan bagi petugas yang disumbangkan melalui Tabung CovidSinar sebelum diagihkan ke klinik-klinik kesihatan.

SHAH ALAM - Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 (CovidSinar) yang disalurkan kepada petugas kesihatan bukan hanya tertumpu di kawasan zon merah di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur malah bakal diagihkan ke Simpang Renggam, Kluang Johor.

Penyelaras Tabung CovidSinar, Auzani Fikry berkata, keputusan untuk menyalurkan bantuan tersebut dibuat setelah melihat kes positif Covid-19 yang semakin meningkat di daerah itu sekali gus menjadikan Johor sebagai negeri ketiga tertinggi dengan penularan wabak itu selepas Selangor dan Kuala Lumpur.

Iklan
Iklan

Menurutnya, Tabung CovidSinar telah memperuntukkan beberapa keperluan utama untuk disalurkan kepada petugas kesihatan di sana antaranya termasuklah 300 pasang peralatan pelindungan peribadi (PPE), 50 liter cecair pembasmi kuman, 3,000 topeng muka, 100 pasang ‘isolation gown’, khemah dan juga air minuman.

"Kesemua barangan ini telah pun kita sediakan dan pihak kami kini sedang berurusan dengan pihak klinik kesihatan di sana untuk proses penghantaran yang dijangka dapat diagihkan dalam masa terdekat.

Iklan

"Proses penghantaran mungkin mengambil sedikit masa memandangkan bantuan yang disalurkan ini perlu merentas beberapa sempadan negeri selain perlaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) turut dipertingkatkan sejak fasa kedua bermula,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

AUZANI

Mengulas lanjut, Auzani turut bersyukur apabila Yayasan Dakwah Islamiah Malaysia (Yadim) tampil untuk bekerjasama dengan Tabung CovidSinar dalam membantu menyediakan barangan keperluan petugas kesihatan bagi mengekang penularan wabak Covid-19 ini.

Iklan

Katanya, pihak Yadim telah bersetuju menyumbangkan 1,000 pasang PPE untuk disalurkan kepada beberapa klinik kesihatan di sekitar Selangor dan Kuala Lumpur termasuk di zon merah dan juga kawasan yang telah dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) seperti di Hulu Langat serta Menara City One, Kuala Lumpur.

"Jadi kami akan pastikan barangan dan peralatan untuk kegunaan petugas kesihatan sentiasa mencukupi di pusat operasi dan pengumpulan kami di Kumpulan Karangkraf sebelum diagihkan.

"Justeru, kami berharap rakyat Malaysia dapat terus bekerjasama dengan Tabung CovidSinar dalam usaha memastikan petugas kesihatan negara dapat memberikan perkhidmatan terbaik mereka dalam memutuskan rantaian wabak Covid-19 ini,” katanya.

Dalam pada itu, Auzani turut memaklumkan jumlah kutipan terkini Tabung Covid-19 adalah sebanyak RM533,625.78 sehingga jam 9 pagi semalam.

Sinar Harian mengaktifkan CovidSinar bagi membolehkan rakyat di negara ini tampil bersama-sama membantu barisan hadapan dalam mengumpulkan dana kelengkapan perlindungan diri dan makanan.

Usaha tersebut juga bertujuan meringankan beban kumpulan terbabit dalam memerangi Covid-19 dan setiap sumbangan daripada segenap rakyat Malaysia akan disalurkan terus kepada barisan hadapan yang memerlukan.

Sumbangan boleh disalurkan ke akaun Maybank Sinar Karangkraf bernombor 514271254025 dan sebarang pertanyaan lanjut boleh diajukan menerusi talian 019-6680920 (pesanan ringkas WhatsApp sahaja). #sinaruntukfrontlinerscovid, #rakyatbanturakyat, #kitalahmalaysia.