PETALING JAYA - Polis menahan lapan individu selepas menyerbu sebuah premis perjudian dalam talian yang beroperasi dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Apartmen Vista Damansara Damai, di sini semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faizal berkata, dua yang ditahan merupakan penjaga premis iaitu seorang lelaki dan wanita Indonesia manakala selebihnya adalah pelanggan yang datang ke pusat judi berkenaan.
"Kesemua yang ditahan dibawa ke IPD Petaling Jaya untuk siasatan lanjut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Sementara itu dalam kejadian berasingan, polis menahan lapan lelaki warga Nepal berusia 22 hingga 33 tahun kerana terlibat dalam pergaduhan di Mentari Court Petaling jaya kira-kira jam 9.30 malam tadi.
"Seorang mangsa iaitu lelaki Nepal berusia 38 tahun cedera dalam pergaduhan itu dan dirawat di hospital.
Menurut Ezanee, pihaknya merampas sebilah gunting yang dijadikan senjata dalam pergaduhan itu.
"Punca pergaduhan adalah kerana masing-masing berada di bawah pengaruh alkohol (mabuk),” katanya.
Untuk kesalahan melanggar PKP, pihaknya menahan empat lelaki termasuk seorang warga Bangladesh kerana memberikan alasan tidak munasabah ketika sekatan jalan di sekitar Petaling Jaya.