Polis dirempuh kenderaan cuba lari sekatan PKP

Iklan
Arifai Tarawe

RAWANG - Seorang anggota polis yang sedang melakukan pemantauan lalu lintas Op Covid-19 di Jalan Bandar Country Homes menghala Kundang cedera dirempuh pemandu sebuah kenderaan yang cuba melarikan diri dari sekatan jalan raya semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Arifai Tarawe berkata, kejadian berlaku apabila beberapa lelaki dilihat sedang mengalihkan batu konkrit sekatan jalan raya pada jam 8.30 malam itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya, mereka melarikan diri selepas didatangi anggota polis yang menyedari tindakan mencurigakan beberapa lelaki yang menaiki dua kenderaan berasingan itu.

"Seorang daripadanya melarikan diri dengan menaiki Honda City sementara tiga yang lain menaiki Perodua Alza.

Iklan

"Salah seorang anggota polis cedera di tangan dan badan ketika pemandu Perodua Alza bertindak mengundurkan kereta dengan laju sehingga melanggar mangsa yang berada 50 meter dari lokasi.

"Motosikal peronda turut mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan," katanya.

Iklan

Beliau berkata, kesemua suspek berjaya ditahan dan disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 186 Kanun Keseksaan atas cubaan membunuh serta menghalang tugas penjawat awam.

"Turut ditahan seorang lelaki yang menaiki kenderaan berasingan selepas bertindak memegang telefon bimbit dan cuba merakam kejadian itu. Lelaki itu enggan memberikan kerjasama dan bertindak agresif.

"Kesemua lima lelaki yang ditahan itu berusia 20 hingga 27 tahun dan semakan mendapati mereka mempunyai rekod jenayah lampau," katanya.

Katanya, suspek turut ditahan di bawah kesalahan Peraturan 1 Perintah Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.