WABAK koronavirus (Covid-19) telah menimbulkan keresahan dan kebimbangan dalam kalangan rakyat Malaysia.
Jumlah kes positif Covid-19 bertambah saban hari manakala jumlah kematian juga terus meningkat.
Pada 3 April 2020, mereka yang positif Covid-19 di Malaysia dilaporkan berjumlah 3,333 orang. Jumlah kematian pula adalah seramai 53 orang. Jumlah yang masih menunggu keputusan ujian saringan adalah seramai 8,265 orang.
Kerajaan terpaksa mengumumkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 16 Mac lalu kerana mereka tidak mahu Malaysia mengalami nasib yang sama seperti dialami Itali. Di negara itu, jumlah kematian terkini telah melebihi 14,000 orang.
Di Malaysia, wabak ini telah mendatangkan musibah yang berganda terutama bagi golongan yang kurang berkemampuan. Walaupun kerajaan mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat, masih ramai yang bimbang akan masa hadapan mereka. Mungkin ada juga yang bertanya, tidakkah Malaysia membuat sebarang persediaan untuk menghadapi wabak seperti Covid-19 sebelum ini?
Kenapakah Korea Selatan yang mempunyai jumlah kes yang jauh lebih tinggi pada awal penyebaran wabak itu dengan begitu mudah dapat menanganinya tanpa PKP yang begitu menyusahkan? Apakah rahsia mereka? Kenapa Malaysia tidak dapat meneladani Korea Selatan? Persoalan itu perlu dijawab.
Satu hal yang tidak dapat dinafikan ialah cara persediaan yang dilakukan oleh Korea Selatan untuk menghadapi wabak seperti Covid-19.
Persiapan yang dilakukan oleh negara itu kini diguna pakai sebagai kayu pengukur untuk negara lain.
Pengalaman
Apa yang dilakukan oleh Korea Selatan sebenarnya bukanlah satu rahsia. Orang Korea sama seperti orang Malaysia dari segi kecenderungan dijangkiti virus Covid-19 ini.
Malah, lebih banyak kes positif yang dikesan di Korea Selatan pada peringkat awalnya berbanding dengan Malaysia. Bagaimanapun, bilangan kes baharu di Korea Selatan menampakkan penurunan yang sangat ketara.
Perbezaan antara kita dengan Korea Selatan ialah cara pendekatan mereka dalam bersiap siaga menghadapi mana-mana wabak. Mereka belajar daripada pengalaman mengharungi wabak Sindrom Pernafasan Timur Tengah (MERS-Cov) pada tahun 2015.
Hasilnya, satu pelan tindakan dirangka dan ia melibatkan bukan hanya pihak yang bertanggungjawab untuk kesihatan seperti hospital dan klinik kesihatan tetapi juga tenaga kerja penyelidikan seperti di institusi pengajian tinggi. Turut sama adalah pihak industri seperti syarikat farmaseutikal dan peralatan kesihatan. Alat pelindung diri (PPE) yang canggih disediakan dalam jumlah yang banyak sejak awal lagi. Satu rangkaian makmal melakukan ujian juga diwujudkan supaya ujian makmal diagnostik boleh dilakukan dengan cepat.
Penyelidikan diberi keutamaan untuk menghasilkan ujian yang dapat dilaksanakan dengan cepat.
Pihak industri dilibat sama dalam pelan tindakan supaya peralatan untuk melakukan ujian makmal yang baharu boleh dikeluarkan sepantas mungkin. Penggunaan data raya dan teknologi maklumat diberi penekanan bagi mengesan kontak dengan lebih berkesan tanpa membuang masa.
Setiap bahagian dalam pelan kesiapsiagaan itu telah diatur secara terperinci dan ia terbukti amat berguna apabila wabak Covid-19 melanda negara mereka pada tahun ini.
Korea Selatan telah mengaktifkan pelan tindakan mereka tanpa perlu mengadakan mesyuarat demi mesyuarat sebelum sesuatu keputusan diambil.
Kesudahannya, dalam beberapa hari sahaja mereka berjaya melakukan ujian saringan ke atas lebih 10,000 orang setiap hari.
Paradigma
Mereka tidak menumpukan perhatian untuk mengesan kontak orang yang dijangkiti Covid-19 sahaja tetapi juga melakukan ujian saringan secara besar-besaran dengan menggunakan kaedah pandu lalu. Analisis data raya digunakan dalam skala besar. Itu membolehkan pihak yang berkenaan membuat ramalan dan seterusnya mengenal pasti siapa yang mungkin telah dijangkiti melalui kontak rapat mereka yang positif Covid-19.
Hasilnya, saringan dapat dibuat dengan begitu pantas dan pesakit yang dijangkiti terus dimasukkan ke hospital dan dirawat segera.
Kecekapan yang ditunjukkan oleh Korea Selatan ini dapat memastikan kadar kematian pesakit akibat Covid-19 mereka adalah antara yang paling rendah di dunia.
Setakat ini, Korea Selatan berjaya membendung wabak Covid-19 tanpa sebarang Perintah Kawalan Pergerakan seperti yang telah terpaksa dilaksanakan di banyak negara.
Persoalannya sekarang adalah sama ada Malaysia boleh melakukan perkara yang serupa seperti Korea Selatan pada masa hadapan.
Untuk membolehkan itu berlaku, kita perlukan satu anjakan paradigma dan kesedaran bahawa pengendalian wabak adalah tanggungjawab peringkat kebangsaan dan bukan hanya terhad kepada satu-satu kementerian.
Sekarang telah tiba masanya untuk kolaboratif yang sebenar-benarnya antara sains kesihatan, sains data raya, industri, penyelidikan dan ekonomi. Hanya dengan cara bekerjasama dapat kita atasi masalah besar seperti musibah Covid-19 yang mencengkam bumi Malaysia tercinta ini.
Selepas wabak ini berlalu, insya-ALLAH kita harus menggunakan pengajaran yang diperoleh daripadanya untuk menilai diri kita dan bersedia untuk mengubah paradigma kita. Kegagalan kita melakukan anjakan paradigma ini mungkin akan mengundang gundah-gulana yang lebih besar pada masa hadapan.
* Profesor Datuk Dr Awg Bulgiba Awg Mahmud ialah Pakar dan Profesor Epidemiologi di Jabatan Perubatan Kemasyarakatan dan Pencegahan, Universiti Malaya. Beliau juga ialah Presiden Konsortium Akademik Kesihatan Awam Asia-Pasifik-Kuala Lumpur