Polis Kajang, MPKj lancar Ops Pemantauan

Iklan
Ahmad Dzaffir beramah mesra dengan orang ramai di Pasar Kajang hari ini.

KAJANG - Polis Kajang dan Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) telah melancarkan Ops Pemantauan di pasar raya, pasar tani dan pasar basah di daerah itu, hari ini.

Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Ahmad Dzaffir Mohd Yussof berkata, seramai enam pasukan dari Ibu Pejabat Polis Daerah Kajang akan memantau di 32 lokasi pasar raya, pasar basah dan pasar tani yang telah dikenal pasti.

Iklan
Iklan

"Konsep penugasan adalah memastikan masyarakat akur dan patuh pada arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) fasa kedua serta mengamalkan 'social distancing'.

"Kita juga mahu memastikan tidak berlaku kesesakan di pasar raya dan pasar basah,” katanya pada sidang akhbar selepas meninjau Pasar Kajang di sini hari ini.

Iklan

Ahmad Dzaffir berkata, hasil tinjauan di Pasar Kajang, beliau mendapati masyarakat di sini akur dengan arahan ‘social distancing’.

"Jumlah kemasukan pembeli ke pasar berkenaan juga dihadkan iaitu seramai 40 orang dalam satu masa manakala pihak pengurusan pasar dan MPKj juga memeriksa suhu badan para pembeli serta meletakkan garisan satu meter bagi memastikan pembeli patuh terhadap arahan ‘social distancing’,” katanya.

Iklan

Dalam perkembangan berasingan, Ahmad Dzaffir berkata, seramai 21 individu yang ingkar ditangkap dalam tempoh PKP fasa kedua sejak 1 April sehingga semalam di sekitar Kajang.

"Mereka yang ditahan itu memberi pelbagai alasan yang tidak munasabah," katanya.

Menurutnya, setakat ini sebanyak tujuh sekatan jalan raya telah dilaksanakan di Kajang.

"Kita akan menambah jumlah sekatan jalan raya dan penutupan jalan di sekitar kawasan Kajang secara berperingkat,” katanya.