Ahli Parlimen Samarahan positif Covid-19

Iklan
Rubiah Wang

SHAH ALAM - Seorang lagi ahli politik Sarawak yang juga Ahli Parlimen Samarahan, Rubiah Wang dilaporkan positif Covid-19.

Perkara tersebut disahkan oleh Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Abdul Karim Rahman Hamzah dalam sidang akhbar mengenai keadaan Covid-19 di Sarawak.

Iklan
Iklan

Abdul Karim kini merupakan Pemangku Timbalan Ketua Menteri Sarawak dan Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri.

Penyandang jawatan tersebut, Douglas Uggah Embas masih menjalani kuarantin di rumah berikutan beliau difahamkan pernah bertemu dengan individu yang diuji positif Covid-19.

Iklan

"Setakat yang kita ketahui sekarang, seorang pembantu menteri dan seorang ahli parlimen disahkan sebagai positif Covid-19,"kata Abdul Karim pada sidang media itu seperti dalam laporan portal The Borneo Post.

Abdul Karim turut memaklumkan beberapa pemimpin negeri itu termasuk Timbalan Ketua Menteri, Awang Tengah Ali Hasan dan tiga menteri penuh, Fatimah Abdullah, Dr Sim Kui Hian dan Stephen Rundi Utom diperintahkan menjalani kuarantin sendiri di rumah.

Iklan

"Ini adalah mengikut standard prosedur operasi (SOP) apabila ada kontak dengan individu yang merupakan kes positif.

"Kami berdoa mereka tidak dijangkiti wabak ini," katanya.

Kelmarin The Borneo Post melaporkan, Pembantu Menteri Pengangkutan yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mabong, Datuk Dr Jerip Susil mengesahkan bahawa beliau positif Covid-19 dan dimasukkan ke Hospital Umum Sarawak (SGH) pada malam Khamis untuk rawatan

Menurut Dr Jerip, beliau dijangkiti Covid-19 melalui kontak dengan individu dalam kluster Good News Fellowship Conference Church.

Sebelum itu, dua ahli politik DAP Sarawak iaitu Ahli Parlimen Sarikei, Andrew Wong dan Ahli Parlimen Bandar Kuching, Dr Kelvin Yii diuji positif untuk Covid-19.

Andrew Wong dilaporkan masih dirawat di Hospital Sibu manakala Dr Kelvin Yii dibenarkan keluar hospital selepas dua ujian terakhir disahkan negatif.