KUANTAN -"Alhamdulillah masih ada rezeki, walaupun tidak banyak," kata pekebun tembikai di Kampung Ubai, Husaini Abdullah, 43.
Menurutnya, walaupun permintaan terhadap tembikai jatuh hingga berlaku lambakan berikutan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ketika ini, namun dia menerima hakikat itu dengan hati terbuka.
Katanya, bagi mengelak kerugian besar mencecah ribuan ringgit, dia menjual hasil tanamannya itu kepada Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) untuk dipasarkan walaupun pada harga jauh lebih rendah.
"Kalau sebelum ini saya mampu jual buah tembikai jenis boci dan kuning itu pada harga RM1.50 sehingga RM1.80 sekilogram.
"Kini saya terpaksa akur apabila terpaksa menjualnya pada harga serendah 70 sen sekilogram.
"Itu lebih baik daripada tembikai ini dibuang begitu sahaja. Sekurang-kurangnya ada juga sedikit untung dan boleh menampung modal," katanya.
Husaini berkata, dia mengusahakan tanaman tembikai atas tanah seluas dua hektar dengan pengeluaran buah sebanyak 18 tan musim ini.
Menurutnya, selain dia, lima lagi pekebun tembikai di Kampung Ubai membabitkan kebun lebih empat hektar berdepan situasi sama apabila hasil kebun masing-masing berada di kemuncak tuaian ketika ini manakala beberapa pekebun lain hasilnya akan menyusul dalam masa beberapa minggu lagi.
"Saya sangat bersyukur apabila masalah lambakan hasil tembikai di Kampung Ubai ini mendapat perhatian pihak FAMA dan mereka banyak membantu kami dengan membeli hasil tanaman ini bagi mengelak lambakan dan buah rosak.
"Usaha agensi berkenaan membantu pekebun dilakukan hampir setiap tahun sekiranya ada permintaan daripada golongan pekebun,” katanya.
Husaini berkata, pada musim sebelum ini, ada pemborong tempatan dan luar sedia menerima tembikai Kampung Ubai dengan harga yang lebih tinggi, namun ia tidak berlaku kali ini kerana tidak ada permintaan berikutan PKP.
"Permintaan terhadap tembikai juga berkurangan kerana semua premis makanan dan warung menjual buah di Jalan Kuantan-Pekan dekat Kampung Ubai tidak dibenarkan berniaga.
"Malah kenderaan untuk mengangkut buah juga tidak boleh berada di atas jalan raya," katanya.
Husaini yang turut mengusahakan tanaman labu berkata, pekebun kini hanya mengharapkan sepenuhnya kepada FAMA untuk membeli semua tembikai bagi mengelak menanggung kerugian.
Katanya, keseluruhan kebun tembikai di Kampung Ubai membabitkan kawasan seluas lebih lapan hektar.
"Selain FAMA projek berkenaan mendapat sokongan Jabatan Pertanian Negeri Pahang," katanya.