SHAH ALAM - Tiada pemimpin mahupun rakyat yang boleh dituduh sebagai pengkhianat kerana mengiktiraf kerajaan sekarang kerana mereka tidak terikat dengan janji sebelum ini, kata Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin.
Beliau bagaimanapun bersetuju bahawa manusia berpegang kepada ikrar dan janji, namun itu pun hendaklah dilihat sejauh mana ikrar dan janji bercanggah atau tidak dengan syarak.
"Adapun saya dan majoriti rakyat tidak pernah terlibat dengan perjanjian atau ikrar antara orang-orang politik. Itu urusan mereka. Majoriti rakyat tidak terbabit dengan perjanjian ‘memfaraidkan kuasa’ antara orang-orang berkaitan.
"Perdana Menteri yang ada sekarang dilantik oleh DYMM Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong iaitu kuasa tertinggi yang diiktiraf oleh Perlembagaan Negara.
"Di sisi Perlembagaan, dia merupakan Perdana Menteri yang sah. Apabila ia sah, di sisi syarak ia wajib ditaati selagi dia tidak menyuruh kepada dosa dan maksiat,” katanya.
Mohd Asri berkata demikian menjawab soalan seseorang yang tidak didedahkan identitinya di laman Facebooknya hari ini.
Soalan berkenaan menyatakan kekecewaan terhadap sikap mufti terbabit kerana mengiktiraf 'golongan pengkhianat' yang membentuk kerajaan.
Memberikan penjelasan mengenai sikapnya terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekarang, Mohd Asri menjelaskan pada Oktober tahun lalu, bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad telah menulis satu surat peribadi kepadanya.
Antara isi kandungan surat tersebut, katanya, Dr Mahathir menulis bahawa 'beliau sudah berjanji mengenai pengganti Perdana Menteri dan ia tidak boleh dimungkiri'.
Sebaliknya kata Mohd Asri, dengan memetik surat diutuskan Dr Mahathir kepadanya itu, orang lain tidak berjanji apa-apa dan mereka boleh memilih siapa sahaja untuk menjadi Perdana Menteri Malaysia.
"Dari surat Tun Mahathir itu, ternyata orang lain tidak terikat dengan janji selain dari Tun M sahaja. Sudah pasti DYMM YDPA (Yang di-Pertuan Agong) tidak terikat dengan janji tersebut.
"Rakyat awam seperti saya juga tidak terikat dengan janji itu. Maka, tiada siapa yang boleh dituduh sebagai khianat kerana mengiktiraf kerajaan yang ada," tulisnya menerusi kenyataan dibuat di media sosial miliknya itu.
Mengulas lanjut, beliau berkata, bercakap tentang ikrar dan janji, bukan sahaja beliau, bahkan semua rakyat yang sebenar, telah berikrar dengan Rukun Negara yang kedua iaitu ‘Kesetiaan Kepada Raja dan Negara’.
"Saya percaya saudara (merujuk individu terbabit) pun pernah berikrar. Dengan saudara tidak mengiktiraf pelantikan yang dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong bererti saudara telah melanggar ikrar dan janji yang saudara telah buat sejak dahulu.
"Justeru, saya mengiktiraf kerana saya menunaikan janji dan ikrar,” katanya.
Menurutnya lagi, prinsip rakyat dalam urusan pemerintahan ialah menyokong yang baik dan ijtihad yang tidak berdosa dalam pentadbiran.
"Kita memberikan pandangan balas dan kritikan jika perlu. Kita membantah dan tidak menyokong hal-hal yang mungkar. Apa yang penting, negara mesti stabil dan memelihara kepentingan rakyat dan agama,” katanya.