KUALA SELANGOR - Seramai 10 belia dan jawatankuasa masjid berganding bahu melakukan kerja pembersihan dan penyemburan nyah kuman di Masjid Ar-Ridzuan, Kampung Bestari Jaya di sini hari ini.
Timbalan Nazir Masjidnya, Abdul Kader Laludin berkata, operasi pembersihan nyah kuman dalam dan luar pekarangan masjid itu mengambil masa selama dua jam.
Menurutnya, operasi bermula jam 9 pagi hingga 11 pagi itu dilakukan memandangkan kawasan masjid yang sebelum ini menjadi tumpuan awam berisiko tinggi penularan wabak koronavirus (Covid-19).
"Semburan dilakukan pada beberapa bahagian dalam masjid seperti permaidani, dinding, paip air dan tandas selain kawasan luar masjid seperti papan tanda serta tempat parkir kenderaan bagi memastikan kawasan ini bebas kuman,"
"Kita juga memastikan pintu dan tingkap masjid dibuka bagi melancarkan aliran udara," katanya.
Abdul Kader yang juga imam masjid itu berkata, walaupun tiada kes Covid-19 dilaporkan di kampung itu, namun pihaknya mengambil langkah pencegahan awal.
"Pihak masjid bersama belia kampung ini mengambil inisiatif sendiri di dalam melaksanakan kerja pembersihan ini secara sukarela di dalam pencegahan Covid-19," katanya.
Malah, menurutnya, bekas Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JKKKP) kampung itu juga turut bercadang memperluaskan kerja pembersihan nyah kuman di rumah penduduk kampung itu pada minggu depan.
"Kami juga berhasrat melakukan kerja penyemburan nyah kuman di setiap rumah, namun bergantung kepada kutipan sumbangan diperoleh bagi pembelian bahan pembasmi kuman.
"Sekiranya hasil kutipan menepati sasaran, maka semburan akan dilakukan pada Ahad depan," katanya.