Covid-19: Lima menteri di Sarawak dikuarantin

Iklan
Anggota Bomba dan Penyelamat Sarawak menjalankan proses penyahkuman atau disinfeksi di kawasan yang menjadi tumpuan orang awam. - Foto Bernama

KUCHING - Pentadbiran kerajaan Sarawak tidak terjejas biarpun lima anggota Kabinet negeri itu termasuk dua orang timbalan ketua menteri, diarahkan untuk mengkuarantinkan diri mereka di rumah, kata Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg hari ini.

Katanya, kemajuan teknologi komunikasi masa kini membolehkan kesemua menteri terlibat meneruskan tanggungjawab mereka biarpun terpaksa mematuhi arahan kuarantin selama 14 hari selepas mereka didapati mempunyai kontak rapat dengan seorang yang disahkan positif Covid-19.

Iklan
Iklan

"Kami masih berhubung menggunakan teknologi... badan saja ke lain (tetapi) mereka punya hati semua sudah bekerja,” katanya dalam sidang media selepas majlis penyampaian simbolik bantuan makanan untuk penduduk luar bandar di Miri di utara Sarawak.

Menteri-menteri negeri yang dikuarantin itu ialah Timbalan Ketua Menteri I, Datuk Amar Douglas Uggah Embas; Timbalan Ketua Menteri II, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan; Menteri Utiliti, Datuk Seri Dr Stephen Rundi Utom; Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Datuk Seri Fatimah Abdullah dan Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Seri Dr Sim Kui Hian.

Iklan
Iklan

Abang Johari berkata, sebelum ini Menteri Muda Pengangkutan, Datuk Dr Jerip Susil, disahkan positif Covid-19 dan kini menerima rawatan di Hospital Umum Sarawak.- Bernama