TEMERLOH - Seorang peniaga kereta terpakai di Mentakab mengambil inisiatif memberikan topeng muka empat lapisan secara percuma kepada orang ramai di bandar itu.
Mengambil inisiatif tersebut sejak beberapa hari lalu, Danny Ng, 41, meletakkan topeng muka di dalam bungkusan di pintu pagar premis miliknya.
Menurutnya, dia mendapat idea itu selepas melihat kesukaran orang ramai untuk mendapatkan topeng muka.
"Dari situ timbul niat saya untuk membantu orang ramai yang tidak memiliki topeng muka ini secara percuma.
"Saya harap niat murni ini dapat membantu mereka yang sangat memerlukan topeng muka," katanya kepada Sinar Harian hari ini.
Dalam pada itu, Danny mengakui sedikit kesal kerana ada segelintir orang ramai yang bersikap tamak mengambil topeng muka disediakan dengan banyak tanpa memikirkan orang lain.
"Ada yang ambil sampai lima keping seorang sehinggakan orang lain tidak dapat memilikinya.
"Jadi bagi mengelakkan perkara itu berlaku lagi, saya akan meletakkan beberapa keping pada satu-satu masa sebelum menambahnya bila habis," katanya.
Katanya, dia berharap orang ramai tidak mementingkan diri sendiri supaya lebih ramai mereka yang memerlukan mendapatkannya.