Malaysia perlu melakukan ‘a total reset’: Tok Mat

Iklan
MOHAMAD

SHAH ALAM – Malaysia mesti bersedia untuk melakukan a total reset dalam memastikan kelestarian ekonomi dan pembangunannya pada era pasca wabak koronavirus (Covid-19).

Timbalan Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, kehidupan dan kelaziman telah berakhir, sebaliknya telah muncul ‘normal yang baru’ dengan semua pihak perlu segera menyesuaikan diri dengan suasana baru itu yang sedang dihadapi dunia ketika ini.

Iklan
Iklan

Menurutnya, kenyataan terbaharu Setiausaha Agung Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Antonio Guterres menggambarkan bahawa krisis Covid-19 yang dihadapi dunia adalah krisis paling parah dan mencabar semenjak Perang Dunia Kedua.

"Sekarang keutamaan kita ialah membangun ketahanan ekonomi.

Iklan

"Kita mesti kembali membongkar potensi modenisasi ekonomi tradisional dan sektor pertumbuhan ‘kalis krisis’ untuk kelangsungan ekonomi kita.

"Jika sebelum ini, rencana ekonomi kita ialah merangsang pertumbuhan. Sekarang, kita mesti kembali kepada pemulihan dan ketahanan yang lestari," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Beliau berkata, kesemua langkah itu memerlukan inovasi, pemikiran di luar kelaziman dan pendekatan ekonomi luar biasa.

Katanya, Malaysia mesti merombak secara radikal sistem penyampaian kerajaan dan beralih kepada kerajaan digital secara total kerana sistem penyampaian tidak boleh lumpuh ketika berhadapan krisis.

"Contoh yang paling nyata ialah apabila sekolah terpaksa ditutup dan bagaimana kita tidak boleh beranjak ke ‘online mode’ dengan pantas dan segera. Akhirnya banyak sekali masa pembelajaran yang terbuang dan gagal dimanfaatkan,” katanya.

Selain itu, Mohamad berkata, Malaysia perlu membangunkan kefahaman dan kesiapsagaan menghadapi ancaman bukan tradisional terhadap keselamatan negara seperti pandemik, serangan siber, bencana alam dan pelbagai lagi krisis.

Jelasnya, kerjasama erat antarabangsa diperlukan dalam menghadapi krisis masa hadapan.

"Covid-19 mengajar kita betapa ia hanya boleh dibanteras melalui kerjasama erat antarabangsa.

"Justeru kita mesti mempergiatkan keterlihatan Malaysia dalam segala segi agar kita mempunyai jaringan yang produktif dan boleh dimanfaatkan sewaktu krisis,” katanya.