BANGKOK - Asalkan dapat pulang ke tanah air, sekumpulan pelajar Malaysia yang menjalani latihan industri di Chiang Mai yang terletak di utara Thailand, sanggup mengharungi perjalanan memenatkan hampir 43 jam, sebelum tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) awal pagi tadi.
Pelajar Tahun Tiga Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA), Muhammad Izzat Azkwan Samudin, 22, bersama-sama 11 rakan universitinya menjalani latihan industri di kilang-kilang memproses makanan di Chiang Mai bermula 19 Januari lepas, namun terpaksa menamatkan latihan industri lebih awal berikutan penularan wabak Covid-19 yang semakin membimbangkan di negara berkenaan.
Mereka menaiki dua van disewa dari Chiang Mai pada 7 pagi (waktu tempatan) Jumaat lepas dan tiba di Bangkok pada jam 4.30 petang hari yang sama.
Pada mulanya, mereka dijadual menaiki pesawat khas Malaysia Airlines MH783 dari Bangkok ke KLIA semalam, 5.50 petang (waktu tempatan), namun mengalami kelewatan dan hanya berlepas dari Lapangan Terbang Suvarnabhumi pada 10.45 malam (waktu tempatan) dan tiba di tanah air kira-kira 2 pagi tadi (waktu Malaysia).
"Walaupun perjalanan ini mengambil masa agak lama, kami semua gembira dan bersyukur kerana dapat pulang ke pangkuan keluarga masing-masing,” kata Pelajar Fakulti Biosumber dan Industri Makanan yang berasal dari Selangor itu, kepada Bernama ketika ditemui di Lapangan Terbang Suvarnabhumi.
Sebaik tiba di KLIA, mereka terus dibawa menggunakan bas ke pusat kuarantin yang ditetapkan kerajaan Malaysia dan menjalani tempoh kuarantin selama 14 hari sebelum dibenarkan pulang ke rumah masing-masing.
Kumpulan pelajar itu merupakan antara 101 rakyat Malaysia yang menuntut dan bertugas di Thailand yang menaiki pesawat khas Malaysia Airlines pulang ke tanah air, berikutan kebanyakan syarikat penerbangan membatalkan sementara penerbangan berikutan pandemik Covid-19.
Duta Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel turut hadir bertemu rakyat Malaysia itu yang bertolak pulang ke tanah air.
Sementara itu, pelajar Tahun Tiga UniSZA, Nor Amenatunajwa Md Rahim berkata, kuarantin wajib itu penting untuk memastikan semua bebas virus Covid-19.
"Saya tidak mahu menjadi ‘super-spreader’. Dengan kuarantin wajib, ia dapat memastikan kami benar-benar bebas daripada virus dan selamat untuk pulang berjumpa keluarga, dan mereka juga selamat serta bebas Covid-19,” katanya yang turut melahirkan penghargaan kepada semua yang terlibat dalam usaha membantu mereka pulang ke Malaysia.
Sementara itu, Leftenan Kolonel (TUDM) Baharin Mohamad yang melanjutkan pengajian di Air War College adalah antara yang pulang ke tanah air apabila dimaklumkan berhubung penerbangan khas itu.
"Memandangkan situasi tidak menentu dan saya bimbang penularan wabak Covid-19 akan berlarutan untuk jangka panjang, saya mengambil keputusan pulang ke tanah air untuk bersama ahli keluarga yang lain khususnya ketika bulan puasa dan hari raya nanti.
"Lagi pun, kolej tutup sehingga 30 April berikutan perintah darurat,” katanya yang sudah setahun berada di Bangkok.
Thailand mengisytiharkan darurat di seluruh negara dari 26 Mac hingga 30 April untuk mengekang penularan Covid-19.
Di bawah dekri darurat, semua pusat beli-belah, pusat hiburan dan venue sukan yang menarik tumpuan ramai diarah tutup manakala pasar raya yang menjual makanan dan barang keperluan harian, farmasi dan kedai serbaneka boleh dibuka.
Semua institusi pendidikan termasuk sekolah tempatan dan antarabangsa, universiti serta pusat tuisyen di Thailand diarahkan tutup. Restoran dan kafe dibenarkan dibuka dengan hanya menawarkan makanan untuk dibungkus dan perkhidmatan penghantaran sahaja.- Bernama