Polis, tentera ditempatkan di pasar borong Selayang

Iklan
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) merangkap Menteri Pertahanan Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob ketika sidang media selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Menteri Menteri Berkenaan Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan di bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama

PUTRAJAYA - Anggota polis dan tentera akan ditugaskan mengawal keadaan di pasar borong dan basah Selayang untuk memastikan pengunjung mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, pengunjung di pasar itu didapati masih lagi bersesak dan tidak mematuhi SOP berkaitan jarak selamat fizikal satu meter.

Iklan
Iklan

"Keputusan mesyuarat pagi ini memutuskan supaya kita letak polis dan tentera untuk memastikan pematuhan di Pasar Borong Selayang dan Pasar Basah Selayang," katanya pada sidang akhbar selepas mesyuarat Jawatankuasa Khas Menteri-Menteri berkenaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di sini hari ini.

Ismail Sabri berkata, sebelum ini, isu yang sama dibangkitkan mengenai keadaan pasar di Ayer Itam, Pulau Pinang dan kini pengunjung di sana sudah mematuhi perintah serta SOP yang dikeluarkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan polis.

Iklan

"Kita akan memastikan pasar di Selayang juga mematuhi apa saja SOP, yang dikeluarkan pihak kerajaan," katanya.

Pada masa sama, beliau juga memberi jaminan bekalan makanan sentiasa mencukupi dan rakyat tidak perlu merasa bimbang dengan membuat pembelian panik.

Iklan

Dalam pada itu Ismail Sabri berkata, segala aktiviti berkaitan pertanian termasuk pengangkutan dan keperluan pertanian, dibenarkan beroperasi sepanjang arahan PKP.

"Ada yang tanya boleh tanam padi ke, tabur benih padi, pergi ke laut sebagai nelayan, semuanya dibolehkan seperti biasa.

"Bukan setakat yang terlibat daripada segi pengeluaran tetapi keseluruhan rantaian pertanian yang berkaitan dengan pertanian, dibenarkan," katanya.

Katanya, ia termasuk kenderaan yang membawa hasil pertanian, kedai yang menjual baja dan kilang pembungkusan produk pertanian.

Justeru beliau berkata, isu yang menyatakan terdapat kenderaan yang membawa produk pertanian ditahan ketika sekatan jalan raya dan sebagainya, tidak seharusnya timbul pada masa ini.

"Semua berkaitan pertanian dibenarkan kerana kita tahu rakyat bergantung kepada produk-produk pertanian dan perikanan," katanya.

Sementara itu, Ismail Sabri juga menggalakkan rakyat supaya melaporkan kepada Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sekiranya mendapati peniaga yang menaikkan harga barangan sewenang-wenangnya.

"Penguat kuasa KPDNHEP sentiasa melakukan pemantauan di mana-mana premis perniagaan yang menjual produk makanan dan sebagainya untuk pastikan harga tidak dinaikkan sewenang-wenangnya oleh peniaga.

"Kita tidak akan benar sesiapa ambil kesempatan semasa rakyat sedang susah ketika ini," katanya. - Bernama