PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Kerajaan menafikan dakwaan bahawa negara kini berdepan dengan kekurangan makanan seperti yang tersebar di media sosial.
Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, berdasarkan kenyataan daripada Kementerian Pertanian dan Industri Makanan, kerajaan memberi jaminan bahawa makanan bagi keperluan rakyat mencukupi.
"Rakyat tidak perlu ragu-ragu sama ada makanan mereka akan cukup atau tidak kerana ia mencukupi. Selain itu juga terdapat aduan orang ramai kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani berkaitan kenaikan mendadak beberapa barang di pasar.
"Kita dimaklumkan oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bahawa penguat kuasa mereka sentiasa melakukan pemantauan di premis-premis menjual keperluan asas rakyat supaya harga tidak dinaikkan sewenang-wenangnya. Jika ada peniaga ambil kesempatan, sila hubungi pihak berkuasa KPDNHEP," katanya pada Sidang Media (Non-Health) selepas Mesyuarat Khas Menteri-Menteri di sini hari ini.
Kataya, wujud kekeliruan berkaitan operasi pertanian dan kerajaan menjelaskan bahawa setiap aktiviti atau operasi berkaitan sektor itu dibenarkan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) ini dilaksanakan.
"Semua dibolehkan seperti biasa. Bukan setakat pengeluar tetapi semua yang terlibat dalam rantaian pertanian dibenarkan beroperasi. Ini bermakna kenderaan pengangkutan pertanian dibenarkan bergerak.
"Begitu juga dengan penjualan produk pertanian di mana-mana tempat seperti pasar raya, pasar awam atau pusat jualan barangan segar terkawal. Segala aktiviti berkaitan pertanian seperti pembungkusan produk pertanian dibenarkan. Tidak ada isu produk makanan kita tidak mencukupi," katanya.
Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, polis dan tentera akan ditempatkan di Pasar Borong Selayang susulan pengguna yang bersesak dan tidak mematuhi standard operasi prosedur (SOP) Kementerian Kesihatan.
"Ramai bersesak-sesak dan tidak mengamalkan penjarakkan sosial. Mesyuarat pagi ini telah memutuskan supaya polis dan tentera ditempatkan di sana supaya pematuhan PKP ini diikuti oleh rakyat," katanya.