Tiga individu ditahan ingkar PKP, tengking polis

Iklan
Antara lokasi SJR yang dilaksanakan IPD Petaling Jaya dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sekitar daerah terbabit sepanjang tempoh PKP.

PETALING JAYA - Bukan sahaja melanggar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), dua lelaki bersama seorang wanita tempatan bersikap biadab menengking dan melawan anggota polis bertugas dalam kejadian di Pekan Baru, di sini awal pagi tadi.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal berkata, ketiga-tiga individu berusia lingkungan 24 hingga 33 tahun itu ditahan jam 1.10 pagi.

Iklan
Iklan

Menurutnya, dalam pada itu, dua lelaki tempatan berusia lingkungan 21 dan 23 tahun turut ditahan pada jam 12.40 tengah malam di Mentari Business Park Sungai Way, Petaling Jaya kerana mengabaikan arahan untuk beredar walaupun telah diberi amaran.

Selain itu, kelmarin Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya turut menahan 15 lagi individu kerana ingkar arahan PKP.

Antara lokasi SJR yang dilaksanakan IPD Petaling Jaya dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) di sekitar daerah terbabit sepanjang tempoh PKP.

Iklan

"Seramai lima warga asing membabitkan empat Indonesia dan seorang warga Bangladesh berusia antara 22 hingga 37 tahun ditahan secara berasingan semasa sekatan jalan raya (SJR) di sekitar daerah ini kerana gagal memberi alasan munasabah mengenai pergerakannya.

"Tangkapan seterusnya membabitkan 10 lelaki tempatan berusia lingkungan 19 hingga 35 tahun. Mereka ditahan secara berasingan ketika sedang berkumpul sambil minum arak, membonceng motosikal serta berada di luar kediaman dan gagal memberi alasan munasabah," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Iklan

Tambahnya, kes disiasat di bawah Peraturan 11 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Polis memberi amaran kepada orang ramai supaya mematuhi PKP yang telah memasuki fasa kedua mulai 1 April lalu. Kegagalan mematuhi arahan tersebut membolehkan mereka ditahan dan didakwa di mahkamah.