DI mana ada kemahuan, di situ ada jalan. Itulah yang dilakukan dua atlet muda bagi mengekalkan kecergasan sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) apabila menggunakan barang terpakai seperti rim motosikal dan batang besi buruk sebagai peralatan angkat berat.
Atlet pelapis Perlis, Muhammad Fakhrul Najmi Mohd Fisol, 15, berkata, idea itu tercetus apabila adiknya, Muhammad Nazrul Hisham, 10, yang baru menceburi sukan angkat berat, memintanya melakukan sesuatu bagi menghilangkan rasa bosan di rumah apabila tidak dapat berlatih di luar bersama rakan lain.
"Saya duduk perhatikan longgokan barangan terpakai di kawasan rumah. Disebabkan ayah kerja ‘pomen’ (mekanik), terdapat banyak barangan terpakai seperti rim motosikal, besi dan lain-lain, dari situ saya terfikir untuk jadikan rim motosikal sebagai peralatan alternatif (angkat berat).
"Adik (Nazrul Hisham) kata rim itu ada lubang, jadi saya terfikir untuk cuba letakkan batang besi terpakai di tengah sebagai ‘barbell’ dan rim motosikal sebagai ‘cakera’ yang diikat mengunakan tali... kalau nak beli kelengkapan angkat berat kami tidak mampu kerana mahal,” katanya ketika ditemui Bernama di kediaman mereka di Kampung Bakong Kubang Gajah di sini hari ini.
Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Syed Sirajuddin itu berkata, dua unit rim motosikal yang diletakkan pada besi adalah seberat 20 kilogram (kg) dan akan menambah dua lagi rim untuk meningkatkan bebanan kepada 40kg.
Muhammad Fakhrul Najmi mewakili sekolahnya bagi kategori 73kg dan adiknya yang belajar di Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah, menyertai kategori 45kg.
Pemenang pingat gangsa Kejohanan Angkat Berat Jemputan di Kelantan pada 2018 itu berkata, angkatan terbaik yang dilakukanya adalah 56kg dalam acara snatch dan 71kg bagi acara clean & jerk dengan angkatan keseluruhan 127kg.
Katanya, adiknya pula menunjukkan minat dan kebolehan terhadap sukan angkat berat sehingga berjaya membuat angkatan seberat 40kg seawal usia 10 tahun, selain sering mengikutinya menjalani latihan di rumah jurulatih angkat berat sekolahnya, Mohd Hanie Musa.
"Dari situ adik menarik perhatian jurulatih untuk mengambilnya sebagai atlet muda SMK Syed Sirajuddin walaupun masih belajar di Sekolah Kebangsaan Kubang Gajah,” katanya.
Muhammad Fakhrul Najmi berkata walaupun tidak dapat berlatih bersama jurulatih, mereka tetap meluangkan masa dua jam sehari melakukan latihan di rumah sepanjang tempoh PKP bagi mengekalkan kecergasan.
"Saya akan rakam video aktiviti latihan di rumah dan hantar kepada jurulatih, dari situ segala pergerakan saya akan diperbaiki oleh jurulatih," katanya.
Dua beradik itu turut berkongsi cita-cita yang sama untuk mewakili Perlis pada temasya Sukan Malaysia (Sukma) satu hari nanti. - Bernama