Bukan masa kembangkan badan, boroikan perut

Iklan

Rata-rata kedai runcit yang Merak Jalanan kunjungi semuanya bagai dilanda garuda, semua barang makanan kehabisan stok kerana diborong oleh semua pembeli.

Dalam aplikasi media sosial pula dapat dilihat ramai kalangan rakan-rakan yang berkongsikan kemahiran memasak pelbagai menu.

Iklan
Iklan

Daripada perkongsian gambar membuat roti canai, membuat roti hinggalah apam balik, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang memaksa rakyat kita untuk berada di rumah dimanfaatkan sepenuhnya untuk memasak pelbagai menu menggunakan air tangan sendiri.

Jika sebelum ini, amat jarang sekali makanan tersebut kita sediakan sendiri, tetapi kerana PKP ramai yang mempunyai masa untuk mencuba memasaknya.

Iklan

Ia sesuatu yang baik untuk mengasah bakat dan skil memasak, namun sesuatu yang perlu diberi perhatian ialah kita makan lebih banyak daripada sepatutnya.

Jika masing-masing menimbang berat badan, pasti ada kenaikan yang berlaku sama ada sekilogram ataupun lebih. Maka ada yang badan makin kembang dan perut yang makin boroi.

Iklan

Janganlah kerana berkurung dalam rumah untuk mengelak Covid-19, kita mengundang penyakit lain seperti kencing manis dan obesiti.

Seimbangkan pemakanan dan senaman supaya selepas PKP tamat pakaian yang ada untuk ke pejabat masih muat untuk dipakai.

Banyak kaedah senaman yang boleh dilakukan walaupun dalam keadaan ruang yang terhad di dalam rumah.

Lompat bintang, pumping, berlari setempat, senam robik dan macam-macam lagi senaman boleh dilakukan untuk mengekal kecergasan kita. Pendek kata, tiada alasan untuk tidak bersenam dalam tempoh PKP ini.

Jika tidak mahu bersenam, maka boleh pilih kerja-kerja lain yang dapat mengeluarkan peluh yang banyak seperti mencuci dan mengemas satu rumah, mengelap semua kelengkapan dalam rumah dan macam-macam lagi.

Lakukan secara konsisten kerana ia untuk kebaikan diri sendiri juga.