Kejamkah undang-undang PKP?

Iklan
Sekatan jalan raya dilakukan pihak polis bagi memastikan orang ramai mematuhi arahan PKP.

DRAKONIAN sering dirujuk sebagai satu undang-undang yang keras dan kejam. Berdasarkan ensiklopedia Britannica, perkataan Drakonian mula direkodkan pada abad ketujuh daripada nama seorang ahli perundangan, Drako di Athens, Greece.

Drako dikatakan menggantikan sistem undang-undang lisan dengan kod bertulis tanpa rakyat mengetahui yang undang-undang tersebut bercirikan kekerasan.

Maka sejak itu, istilah drakonian kemudian sering digunakan secara meluas terutamanya di Eropah dan Amerika Syarikat merujuk kepada peraturan serta undang-undang yang tidak adil dan kejam.

Iklan
Iklan

Di Malaysia sendiri, sejak beberapa tahun lalu, istilah drakonian acapkali digunakan merujuk kepada beberapa undang-undang yang tidak dipersetujui oleh segelintir pihak yang mendakwa ada peraturan di negara ini melanggar hak asasi manusia.

Ironinya, dalam kegawatan dan kelumpuhan dunia melawan virus misteri Covid-19, pihak berkuasa banyak negara terpaksa mengetepikan hak kemanusiaan demi menurunkan graf jumlah pesakit Covid-19.

Ada yang melaksanakan lockdown seperti di China, Itali dan India, ada juga yang mengehadkan pergerakan seperti di Korea Selatan, Singapura dan Malaysia.

Iklan

Yang pasti sama ada lockdown atau Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), arahan ini perlu disusuli dengan penguatkuasaan dan bagi yang ingkar, mereka bakal berdepan hukuman.

Namun, memasuki fasa kedua arahan PKP dengan penguatkuasaan lebih ketat pihak berkuasa, tindakan itu turut diiringi dengan cakap-cakap negatif.

Ada yang mendakwa pelaksanaannya terlalu keras dan ada yang menyebut peraturan PKP menyamai undang-undang drakonian yang kejam.

Iklan
Khairil Azmin

Menurut pakar undang-undang, Profesor Khairil Azmin Mokhtar, pelaksanaan dan penguatkuasaan PKP sememangnya menuntut cabaran luar biasa pihak berkuasa memandangkan situasi itu pertama kali berlaku di Malaysia.

"Kita tidak dapat nafikan pada awalnya mungkin ada yang tidak tersusun kerana PKP melibatkan silang agensi antara kementerian, agensi kerajaan dan kerajaan negeri serta Persekutuan.

Sebagai contoh, masa mula-mula arahan balik kampung perlu isi borang, nampak tidak tersusun.

"Tetapi selepas itu, bila Majlis Keselamatan Negara (MKN) ambil alih dan hanya beberapa orang dibenarkan bercakap baru nampak lancar dan wujud koordinasi,” katanya sebagai mukadimah berbicara mengenai pelaksanaan PKP.

Namun, jelas beliau lagi, memperhalusi pelaksanaan dan penguatkuasaan PKP, pihak berkuasa tidaklah terus tangkap dan dakwa orang yang buat kesalahan, sebaliknya ia dibuat secara berperingkat untuk memberi kefahaman kepada rakyat.

Sebab itu, katanya, kalau dilihat pada awal-awal PKP, perintah itu hanya libatkan polis, kemudian baru disertai tentera dengan semua anggota pihak berkuasa lebih memberi nasihat dan teguran.

Lebih tegas

Apa yang lebih penting, katanya, Seksyen 11 (3) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 sememangnya memberikan kebenaran kepada seseorang pegawai menggunakan kekerasan dengan bantuan atau tanpa bantuan yang perlu dan menggunakan apa-apa cara mencukupi untuk memastikan apa-apa arahan dikeluarkan dipatuhi.

"Kita tidak boleh ambil ringan dengan beranggapan kesalahan kecil sahaja setakat keluar rumah jalan-jalan, bukan kesalahan pandu kereta laju sampai langgar orang sebab implikasi pelanggaran undang-undang waktu PKP, walaupun nampak ringan tapi akibatnya besar. Ia boleh gagalkan kita hapuskan Covid-19.

"Kalau dari segi tindakan pun, dulu fasa pertama polis bagi nasihat, sekarang dah masuk fasa kedua tentulah kena lebih tegas. Tapi bila ada yang ingkar malah melawan, maki pihak berkuasa, sudah tentu akan ditangkap.

"Pendek kata, sekarang apa yang digunakan pihak berkuasa masih di bawah Perlembagaan. Tidak timbul kalau ada yang cakap langgar hak asasi. Kalau kita di luar negara, contohnya Amerika Syarikat dan Itali, terus buat lockdown, semua tutup habis, lagi tegas dan keras.

"Di Filipina, sampai nak tembak orang yang ingkar. Di Malaysia, ikutkan pihak berkuasa masih berperikemanusiaan dan ikut lunas undang-undang,” katanya kepada Sinar Harian.

Mengulas lanjut mengenai ada sesetengah individu memberi alasan tidak tahu sesuatu kesalahan di bawah PKP, Khairil Azmin memberi satu ungkapan yang sering digunakan dalam perundangan:"Kejahilan tidak boleh dijadikan alasan untuk melanggar undang-undang.”

Musa Hassan

Dalam pada itu, bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, tidak timbul isu pelaksanaan undang-undang terlalu keras atau kejam kerana berdasarkan akta yang digunakan, polis sememangnya mempunyai kuasa untuk menahan dan menggunakan kekerasan sewajarnya terhadap orang yang ingkar.

Bagi beliau, apabila kerajaan sudahpun menguar-uarkan pelaksanaan PKP dan apa-apa peraturan yang perlu dipatuhi, orang ramai sepatutnya sudah faham kerana mereka telah dimaklumkan menerusi televisyen, radio, akhbar dan media sosial.

"Tidak ada isu orang tidak tahu kesalahan di bawah PKP. Isu sebenarnya ialah mereka yang langgar PKP ini adalah orang yang degil.

"Ini undang-undang untuk elak penyakit berjangkit dengan tugas polis dan tentera kawal pergerakan, tugas pihak kesihatan pula dari segi rawatan. Polis bukan suka-suka membuat sekatan jalan dan tidak benar kereta keluar dari jarak 10 kilometer.

"Itu semua arahan yang diputuskan oleh jawatankuasa kendalikan wabak di bawah Majlis Keselamatan Negara. Malah, bila MKN ambil alih sememangnya untuk kawal situasi yang genting,” katanya.

Kepada yang merujuk pelaksanaan dan penguatkuasaan PKP sebagai zalim, tegas Musa, mereka tidak ubah ibarat kelompok yang suka Covid-19.

Katanya, ini kerana di luar negara apa yang dilaksanakan jauh lebih keras dan menentang hak kemanusiaan.

"China contohnya, laksanakan dua bulan lockdown yang lebih ketat. Walau dianggap kejam dan dikatakan menentang hak asasi manusia, ia efektif sehingga hampir tiada kes Covid-19 dilaporkan di negara itu sekarang ini.

"Di India, terang-terang pihak berkuasa negara itu pukul orang ramai yang ingkar dengan kayu.

"Kita belum sampai tahap perintah berkurung dan belum sampai pukul orang dengan kayu. Rakyat Malaysia kena faham peraturan PKP menentukan keselamatan dan kesihatan kita selepas ini,” katanya.

Ditanya mengenai beberapa video yang memaparkan pihak berkuasa mendenda orang awam ketuk ketampi dan merotan, katanya, polis juga manusia yang tidak terkecuali daripada tekanan semasa bertugas.

Akuinya, walaupun anggota polis tidak sepatutnya memberi hukuman, namun ada antara tindakan tersebut sebenarnya cara yang berhemah dalam memberi teguran dan peringatan tegas.

"Polis ada perikemanusiaan, dia bagi peluang cukup sekadar ketuk ketampi supaya orang yang ingkar itu beringat,” kata Musa.