PASIR GUDANG -"Saya tidak dapat bayangkan satu keluarga makan nasi berlauk gula," kata Pengurus Besar Econsave Wilayah Selatan, Mas Imran Adam dalam nada tersekat-sekat sambil menahan kesedihan dengan kelopaknya bergenang air mata.
Beliau berkata, disebabkan situasi itu, Pasaraya Econsave memberikan sumbangan untuk 3,000 keluarga yang menduduki flat Taman Cendana di sini semalam.
Keluarga yang makan nasi berlauk gula itu salah satu daripada penerima bantuan tersebut dan beliau percaya ramai keluarga yang mengalami nasib seperti itu tetapi tidak diketahui atau didedahkan.
Pasaraya Econsave menyumbangkan 3 tan sayur-sayuran dan 220kg ikan kepada semua ketua keluarga di flat berkenaan dalam usaha meringankan beban mereka yang terkesan dengan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).
"Sumbangan diagihkan kepada semua ketua blok melibatkan semua ketua keluarga selain pihak kami sendiri memberikan bahan makanan ini di setiap pintu rumah, jadi mereka tidak perlu bersesak untuk keluar rumah mengambil sumbangan ini.
"Econsave sendiri menyumbangkan sayur kubis dan bayam manakala sayur lain termasuk ikan kembung dan ikan selar disumbangkan pihak pembekal kami," katanya selepas menyampaikan sumbangan tersebut kepada penduduk dan ketua-ketua blok di flat taman berkenaan.
Mas Imran berkata, itu adalah usaha pertama Pasaraya Econsave semasa penularan koronavirus (Covid-19) dan akan diperluaskan kerana pihaknya sudah mula menerima permohonan bantuan bahan makanan dari kawasan lain yang turut mengalami nasib sama.
"Mana-mana pihak yang mahu menyumbangkan sayur, ikan atau barang keperluan asas lain boleh berhubung dengan kami terutama pengedar dan pembekal sayur-sayuran dan ikan yang ingin menyumbang.
"Bahan makanan gred B yang tidak habis dijual pun boleh disumbangkan," katanya.
Mas Imran berkata, tersentuh dan simpati dengan nasib keluarga Roslan A Aliudins yang makan nasi berlauk gula, beliau kemudian mengusahakan bantuan tersebut dan disampaikan semalam memandangkan banyak keluarga di taman itu yang memerlukan bantuan.