'Virus buster' terowong nyah kuman jaga kesihatan anggota bertugas

Iklan
Malek Razak menunjukkan demonstrasi penggunaan 'virus buster' di Markas 2 Briged Infantri di sini hari ini.

IPOH - Markas 2 Briged Infantri tampil dengan rekaan terowong nyah kuman yang pertama diperkenalkan di Perak dalam usaha menjaga kesihatan kalangan anggotanya sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Mesin yang diberi nama 'virus buster' itu berfungsi sebagai mesin penyembur cecair pembasmi kuman bagi membantu mencegah penularan wabak koronavirus (Covid-19).

Iklan
Iklan

Panglima 2 Briged, Brigadier Jeneral Malek Razak Sulaiman berkata, dalam situasi sekarang, adalah penting untuk setiap pegawai dan anggota melindungi diri daripada dijangkiti wabak agar dapat menjalankan tugas selaku barisan hadapan dengan baik.

"Satu daripada inisiatif kita buat adalah dengan mencipta 'virus buster' ini menggunakan bahan-bahan tempatan yang ada, atas nasihat pegawai perubatan kita campurkan cecair anti kuman dan Dettol mengikut nisbah yang betul.

Iklan

"Menerusi kaedah ini, diyakini dapat menghapuskan hampir 100 peratus kuman yang melekat pada tubuh badan," katanya ketika ditemui pemberita hari ini.

Malek Razak ketika ditemui pemberita hari ini.

Menurutnya, mesin itu dihasilkan hanya menggunakan peralatan mudah diperoleh seperti rangka besi, kayu, plat zink, plastik dan tong air dengan kos hampir RM4,000.

Iklan

"Ia berjaya disiapkan dalam tempoh dua hari sahaja melibatkan tujuh anggota dari 2 Workshop Briged," katanya.

Beliau berkata, peralatan itu kini ditempatkan di Markas 2 Briged dan setiap anggota yang terlibat dalam pemantauan pematuhan PKP, mesti melalui mesin berkenaan setiap kali sebelum dan selepas melaksanakan tugas.

"Pihaknya bercadang untuk menghasilkan lebih banyak mesin seumpama itu, namun bergantung kepada peruntukan yang diperoleh.

"Kita tidak tahu jangkaan operasi PKP ini sampai bila, tetapi dengan adanya peralatan ini, sekurang-kurangnya pegawai dan anggota kita dalam keadaan bersih dan yakin sebelum dapat kembali bersama keluarga," katanya.

Malek Razak menunjukkan demonstrasi penggunaan 'virus buster' di Markas 2 Briged Infantri

Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah terlibat secara langsung dalam pemantauan pematuhan PKP menerusi Ops Penawar yang dilancarkan sejak 22 Mac lalu.

Di Perak, seramai 31 pegawai dan 780 anggota lain-lain pangkat telah diaturgerakkan membantu Polis Diraja Malaysia (PDRM) melibatkan 63 sekatan jalan raya dan 36 rondaan di semua 12 daerah.

Mengulas lanjut, Malek Razak berkata, sehingga kini, tiada lagi mana-mana anggotanya yang disahkan positif Covid-19.

"Perak berjaya mengekalkan kadar pematuhan pada tahap 96 peratus ke atas sejak PKP dilaksanakan dan bagi fasa kedua ini, kita dapati pematuhan kalangan masyarakat semakin meningkat," katanya.