Aturan kehidupan kita di atas muka bumi ini kadang kala bersilih ganti. ALLAH datangkan nikmat, bersilih dengan musibah. Itulah sunnatullah dalam menggerakkan putaran alam kehidupan ini.
Sebahagian musibah itu kadang-kadang tidak terjangkau dek akal fikiran. Seperti yang sedang kita lalui pada hari ini. Wabak penyakit yang selama ini tidak pernah pun kita bayangkan, tetapi ALLAH berikan sebagai peringatan dan peluang untuk kita sebagai ummat Islam memperbaiki diri untuk menjadi Muslim yang lebih baik lagi.
Daripada Suhaib RA berkata, Rasulullah SAW bersabda:"Amat menakjubkan urusan seorang Mukmin kerana setiap urusannya adalah baik dan itu tidak akan berlaku kepada seorang pun kecuali kepada seorang Mukmin (yang sempurna keimanannya).
Jika dia mendapat sesuatu yang mengembirakan dia bersyukur, maka itu adalah kebaikan baginya. Jika dia ditimpa kesusahan dia bersabar, maka itu adalah kebaikan baginya.” (Muslim)
Hadis ini mengajar kita betapa sebagai seorang yang beriman dengan ALLAH SWT apabila diberi nikmat dia bersyukur dan apabila diuji dengan musibah maka dia bersabar.
Kerana bagi tiap-tiap orang yang beriman itu telah ALLAH SWT tetapkan ujian dan musibah sebagai jalan untuk Dia menguji hamba-hambanya.
Firman ALLAH: "Dia lah yang telah mentakdirkan adanya mati dan hidup untuk menguji dan menzahirkan keadaan kamu: siapakah di antara kamu yang lebih baik amalnya; dan DIa Maha Kuasa (membalas amal kamu), lagi Maha Pengampun, (bagi orang-orang yang bertaubat” (Al-Mulk; ayat 2)
Dalam ayat yang lain, ALLAH telah menyatakan di dalam firman-Nya yang bermaksud: "Dan sesungguhnya Kami akan menguji kamu dengan suatu ketakutan, kelaparan dan kekurangan harta, jiwa dan buah-buahan, dan sampaikanlah berita gembira kepada orang-orang yang sabar.” (Al-Baqarah: 155)
Di dalam ayat di atas ALLAH telah menjelaskan bahawa manusia akan diuji dengan beberapa bentuk musibah, iaitu:-
1)Ketakutan
Rasa takut yang menjadi fitrah manusia ini muncul apabila adanya ancaman, umpamanya tanda-tanda penyakit berbahaya yang sedang merebak, kawasan diserang oleh musuh dan sebagainya.
2)Kelaparan, Kekurangan Harta Benda dan Buah-Buahan
Kekurangan makanan, harta benda dan hasil pertanian adalah satu kebimbangan bagi manusia. Ia adalah musibah yang bukan sahaja dalam negara bahkan akan menjadi satu masalah sejagat. Ini kerana ketiga-ketiganya adalah satu keperluan yang amat penting demi menjamin kelansungan hidup ummat manusia.
3)Kehilangan Jiwa
Hilang orang yang dikasihi. Ada anak yang bergantung kehidupannya dengan ibu dan ayah, Ada isteri yang biasa hidupnya dikelilingi suami dan anak-anak. Ujian kehilangan orang yang dikasihi ini adalah ujian yang tak tertanggung bebannya. Namun Islam mengajar kita dengan nilai sabar yang disebutkan dalam banyak ayat al-Quran.
Pada sebelumnya firman ALLAH yang bermaksud: "Wahai orang-orang yang beriman! Carilah pertolongan dengan kesabaran dan solat. Sesungguhnya ALLAH bersama-sama dengan orang-orang yang sabar.”
Maka kata kunci menguruskan musibah adalah sabar dan solat. Inilah cara yang ALLAH berikan sebagai panduan kepada manusia. Sebagaimana ALLAH mengajar kita untuk mengucapkan kalimah istirja’ sebagai manifestasi kesabaran berdepan dengan musibah di dalam ayat 156, surah al-Baqarah, yang bermaksud:"Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa sesuatu bala, mereka mengucapkan: ‘Sesungguhnya kita ini daripada ALLAH dan sesungguhnya kepada-Nyalah kita akan kembali’.”
Dengan kekangan dan tekanan yang berlangsung sepanjang proses pelaksanaan perintah kawalan pergerakan ini, sudah pasti tiap-tiap daripada kita diuji dengan ujian yang berbeza.
Ada yang diuji dengan pasangan, ada yang diuji dengan anak, ada yang duji dengan kesibukan bertugas, ada yang duji dengan kekurangan duit, ada yang duji dengan ketagihan pornografi, ada yang duji dengan bergelut mencari kekuatan untuk menunaikan solat dan pelbagai lagi.
Satu persatu seakan-akan datang bertimpa. Talian kaunseling yang ditawarkan hari demi hari dipenuhi dengan luahan masalah rumah tangga. Ada pasangan yang dipukul, ada anak yang didera, ada yang menangis keluarga tidak cukup makan dan lain-lain.
Alangkah sedihnya kehidupan ini jika kita sekadar hidup tanpa kita meletakkan matlamat untuk mendapat reda ALLAH. Bertolak ansur sesama pasangan, terus-terusan mendidik anak tanpa jemu, supaya pengakhirannya nanti kita akan berpimpin tangan masuk ke syurga ALLAH.
Kehidupan ini hanya ada dua pilihan yang ALLAH berikan. Sama ada kita yang pergi dahulu atau suami dan anak-anak yang akan meninggalkan kita. Hiduplah dengan berbakti sebanyak-banyaknya untuk keluarga.
Di musim duduk di rumah ini, rebutlah peluang untuk menjadi ayah ibu yang disayang atau orang yang dikasihi pasangan. Tidak rugi berbuat baik, kerana orang yang baik itu hidupnya di sayang orang, matinya kelak dikenang-kenang.
Uruslah musibah dengan niat menggapai reda ALLAH, kerana ada ganjaran yang dijanjikan oleh ALLAH kepada kelompok manusia sebegini seperti yang diungkapkan di dalam ayat 157, surah al-Baqarah, yang bermaksud: "Mereka akan dilimpahkan dengan berbagai rahmat dari Tuhan mereka dan merekalah orang-orang yang mendapat petunjuk.”
Semoga warna-warni yang pelbagai di dalam kehidupan kita ini, dapat ditelusuri dengan tenang khususnya berdepan dengan musibah yang sedang melanda.
Moga-moga kita setenang Nabi Yaakub a.s, semasa diuji dengan kehilangan anak kesayangannya, Nabi Yusuf a.s, dengan ungkapan yang hebat, ”Sabar itu indah dan ALLAH-lah tempat memohon pertolongan.” (Surah Yusuf: ayat 18)
*Datuk Paimuzi Yahya ialah Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim)