KOTA BHARU - [DIKEMAS KINI] Seorang pesara tentera patah tulang hidung dan cedera di muka selepas dirempuh sebuah kereta dipandu seorang wanita warga emas yang terbabas dan melanggar Balai Polis Ketereh di sini hari ini.
Kejadian berlaku pada jam 10.15 pagi ketika mangsa, Anuar Ismail, 49, berurusan di balai berkenaan.
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, sebelum itu, pemandu wanita berusia 55 tahun tersebut memandu kereta jenis Perodua MyVi dari arah Jalan Serendah menghala ke Kok Lanas.
"Mangsa berhenti di persimpangan lampu isyarat Ketereh berhadapan dengan Balai Polis Ketereh dan ketika lampu bertukar hijau dia meneruskan perjalanan untuk membelok kanan dan dipercayai tertekan pedal minyak hingga melanggar sebuah kereta di hadapan.
"Pelanggaran itu menyebabkan kereta yang dipandunya hilang kawalan dan merempuh Balai Polis Ketereh serta mangsa yang berada di balai itu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian hari ini.
Abdul Rahim berkata, mangsa yang cedera dibawa ke Hospital Raja Perempuan Zainab II dengan menggunakan ambulans untuk rawatan dan didapati patah tulang hidung selain cedera pada muka.
"Akibat pelanggaran itu juga menyebabkan pintu utama balai, garaj, kaunter pertanyaan, peralatan pejabat termasuk komputer, meja dan kerusi pecah serta rosak.
"Laporan polis dibuat dan siasatan masih diteruskan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.