JOHOR BHARU – Rangkaian pasaraya Econsave Cash & Carry (Econsave) terus membuktikan keprihatinan mereka terhadap masyarakat dengan bersama-sama menyokong sebarang usaha murni dalam memerangi wabak Covid-19.
Terbaharu Econsave bekerjasama dengan Sinar Harian melancarkan kutipan Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 yang membabitkan kesemua 80 cawangan pasaraya berkenaan di seluruh negara bermula 1 April lalu sehingga 30 April depan.
Pengurus Besar Econsave, Mas Imran Adam berkata pihaknya sentiasa mengambil berat tentang kebajikan wira-wira negara yang bertugas sebagai barisan hadapan dalam memerangi penularan wabak Covid-19 ini.
Jelas beliau, kerjasama antara Econsave dan Sinar Harian yang sudah lama terjalin dalam melakukan kerja amal bakal dimantapkan lagi dengan penubuhan tabung bantuan Covid-19 berkenaan.
"Bermula 1 April lalu keseluruhan cawangan pasaraya Econsave telah memulakan kutipan untuk Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 dan Alhamdulillah sambutan yang diberikan oleh pelanggan Econsave amat menggalakkan.
"Econsave terpanggil untuk menyokong penubuhan tabung bantuan yang dikendalikan Sinar Harian ini sebagai sebahagian daripada keprihatinan kita atas pengorbanan kumpulan frontliners Covid-19,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, semalam.
Sebelum ini Econsave turut pelancaran Tabung Sinar4Rohingya dan Tabung Sinar Peduli Lombok yang dikendalikan oleh Sinar Harian serta berjaya mengumpul sejumlah dana yang agak besar.
Ujar Mas Imran lagi, selain itu pihak Econsave turut melaksanakan program khidmat kemasyarakatan mereka untuk membantu kumpulan frontliners dengan menghulurkan bantuan makanan untuk tiga hospital iaitu Hospital Besar Melaka, Hospital Enche’ Besar Hajjah Kalsom Kluang dan Hospital Sultan Ismail, Johor Bharu.
"Insya-ALLAH pihak Econsave akan meneruskan usaha murni ini dan kami berterima kasih kepada Sinar Harian kerana membuka peluang untuk bekerjasama dalam mengutip dana untuk Tabung Bantuan Frontliners Covid-19 ini,” katanya.