PUTRAJAYA – Kerajaan memutuskan kelulusan operasi dua kilang arak yang diberikan pengecualian dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dibatalkan.
Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, selaras dengan itu juga, Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) akan mengeluarkan surat pembatalan serta merta.
"Semalam berlegar di media sosial, WhatsApp group, Facebook dan pelbagai lagi yang mempersoalkan tentang kilang arak Heineken dan Carlsberg yang mendapat surat pelepasan untuk pembukaan kilang mereka.
"Hari ini di dalam Mesyuarat Khas Kabinet yang dipengerusikan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin, kita telah pun membuat keputusan bahawa kelulusan yang diberikan itu terbatal atau dibatalkan,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Khas Menteri-menteri Mengenai Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Pejabat Perdana Menteri di sini hari ini.
Menjelaskan lebih lanjut, Ismail Sabri berkata, dengan keputusan itu beliau berharap perkara tersebut tidak lagi menjadi isu.
"Jadi, tidak timbul lagilah tentang kilang Heineken dan Carlsberg yang beroperasi,” katanya.
Semalam, satu surat bertarikh 31 Mac 2020 yang didakwa dikeluarkan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) memberi kebenaran kepada sebuah syarikat arak untuk beroperasi semasa PKP.
Dalam surat yang ditandatangani Ketua Setiausaha kementerian itu, Datuk Hasnol Zam Zam Ahmad itu turut menyatakan bahawa syarikat itu telah memohon kebenaran pada 24 Mac lalu untuk beroperasi dan kilang itu dibenarkan berbuat demikian bagi memastikan bekalan mencukupi sepanjang PKP.
Menteri KPDNHEP ketika ini adalah Datuk Alexander Nanta Linggi.