Ambil inisiatif tubuhkan grup bazar Ramadan dalam talian

Iklan
Pelbagai pihak mengambil inisiatif menubuhkan grub bazar Ramadan dalam talian selepas kerajaan memutuskan tidak membenarkan penganjurannya selagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

SHAH ALAM – Persatuan Penduduk Taman Puncak Jalil menubuhkan grup bazar Ramadan secara dalam talian sebagai platform memudahkan penjaja dan peniaga kecil beroperasi sepanjang bulan puasa ini.

Presidennya, Zainuddin Zainal berkata, inisiatif itu diambil kerana menjangkakan tiada bazar Ramadan selepas kerajaan mengumumkan tidak membenarkan penganjurannya selagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Iklan
Iklan

"Walaupun PKP ditamatkan berkemungkinan besar bazar Ramadan tidak ada, banyak negeri umumkan pembatalan penganjurannya.

"Berikutan itu, saya menubuhkan grup ini bagi membolehkan peniaga memasarkan makanan dan minuman kepada penghuni di 10,000 unit rumah di Taman Puncak Jalil membeli pelbagai juadah sempena Ramadan ini,” katanya kepada Sinar Harian.

Iklan

Terdahulu, Zainuddin berkata, beliau dimaklumkan sebelum pembatalan bazar seramai 120 peniaga menerima permit untuk menjalankan perniagaan di Bazar Ramadan Taman Puncak Jalil.

"Atas kesedaran itu kita tubuhkan grup Bazar Ramadan Taman Puncak Jalil 2020 Online ini bermula Sabtu lalu. Alhamdulillah sebelum Ramadan, seramai 2,800 penduduk sudah menjadi ahli selain 180 peniaga yang mendaftarkan diri.

Iklan

"Urus niaga juga sudah bermula. Ketika PKP pergerakan untuk keluar rumah terbatas dan perniagaan dalam talian banyak membantu,” katanya.

Zainuddin berkata, persatuan itu menampilkan konsep berlainan dengan menyenaraikan maklumat terperinci mengenai nama peniaga, nombor telefon yang boleh dihubungi dan gambar makanan atau minuman yang ditawarkan kepada pembeli.

Katanya, sebagai admin, beliau mengawal perniagaan di dalam grup tersebut dan hanya membenarkan peniaga makanan dan minuman mempromosikan jualan masing-masing.

"Selepas membuka keahlian ini kepada penduduk dan peniaga,langkah ketiga ialah mengumpulkan ‘runner’ kerana kejayaan perniagaan dalam talian ini bergantung kepada golongan itu.

"Apa yang penting, saya nasihatkan peniaga bertanggungjawab, sediakan makanan sedap dan bersih serta hantar jualan mengikut perjanjian dengan pembeli. Saya juga menggalakkan peniaga sentiasa mengikuti grup ini kerana ada pertanyaan yang tidak dijawab,” katanya.

Sementara itu, peniaga, Mohd Saddam Sarbini, 28, berkata beliau turut menubuhkan grup Bazar Ramadan Online Warga Puchong selepas mendengar keluhan peniaga yang terkesan ketika pelaksanaan PKP.

Menurutnya, grup itu khusus untuk peniaga sekitar Puchong mengiklankan menu yang ditawarkan kepada pelanggan.

"Saya ambil inisiatif mengumpulkan peniaga di sekitar Puchong dalam grup itu. Sesiapa pun boleh masuk iklankan perniagaan mereka dalam grup tersebut, saya bantu jika mereka perlukan khidmat ‘runner’,” katanya.

Terdahulu, kerajaan memutuskan untuk tidak membenarkan penganjuran bazar Ramadan selagi Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan.

Menteri Kanan (Kluster Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bagaimanapun jika PKP telah tamat, Majlis Keselamatan Negara akan menyediakan standard operasi prosedur (SOP) berkaitan bazar Ramadan ini selepas perintah itu berakhir.