Hadi turun kempen PRK Cameron Highlands

Iklan

KEMAMAN - Pas mengulangi pendirian akan memberi sokongan kepada calon BN pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands 26 Januari ini, meskipun undi Pas bukan penentu kemenangan BN dalam PRK itu.

Presiden Pas Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata beliau sendiri akan turun berkempen Ahad ini sebagai tanda sokongan kepada pihak pembangkang bagi memenangi PRK itu.

Iklan
Iklan

"Sama ada undi Pas akan menjadi penentu atau tidak, ia hanya akan diketahui selepas 'post mortem' dibuat selepas PRK ini.

"Tapi untuk PRK (Cameron Highlands), Insya-ALLAH, kita akan memberi kerjasama kepada calon parti pembangkang (atas dasar) beliau (sebenarnya) tidak mewakili Umno, Pas atau mana-mana parti (tetapi) hanya menggunakan simbol BN... Insya-ALLAH saya akan turun sendiri berkempen pada Ahad ini,” katanya.

Iklan

Abdul Hadi yang juga Ahli Parlimen Marang berkata demikian kepada pemberita selepas majlis makan tengah hari dan perasmian Dewan Dato' Seri Tuan Guru di Darul Iman Training Centre (DITC), Teluk Kalong, Kemaman, di sini hari ini.

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Besar Dr Ahmad Samsuri Mokhtar.

Iklan

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Kebajikan, Pembangunan Wanita, Keluarga dan Perpaduan Sosial Terengganu, Hanafiah Mat dan Ketua Pegawai Eksekutif DITC, Shuhaimi Embong.

PRK Cameron Highlands pada 26 Januari ini menyaksikan pertandingan empat penjuru antara Timbalan Pengerusi DAP Pahang M. Manogaran yang mewakili PH, bekas pegawai kanan polis Ramli Mohd Nor (BN); bekas pensyarah Institut Aminuddin Baki, Sallehudin Ab Talib; serta petani Wong Seng Yee yang masing-masing bertanding atas tiket Bebas.

PRK Parlimen Cameron Highlands diadakan selepas Mahkamah Pilihan Raya mengisytiharkan kemenangan Datuk C. Sivarraajh daripada BN pada PRU14 Mei tahun lepas, terbatal dan tidak sah apabila didapati berlaku amalan rasuah untuk mempengaruhi pengundi di kawasan itu.- Bernama