Lima remaja bawah umur antara 10 didakwa ingkar PKP

Iklan
Tertuduh diiringi anggota polis ketika dibawa ke Mahkamah Majistret di sini hari ini untuk dituduh atas kesalahan langgar PKP.

KUANTAN - Lima remaja bawah umur antara 10 individu dihadapkan ke Mahkamah Majistret di sini, hari ini atas kesalahan ingkar Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Tertuduh berusia 17 hingga 26 tahun yang ditahan sekitar bandar Kuantan pada 1 dan 2 April lalu mengaku bersalah atas tuduhan mengikut Peraturan 7 Peraturan-peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah Di Dalam Kawasan Tempatan Jangkitan) 2020.

Iklan
Iklan

Pendakwaan dikemukakan Timbalan Pendakwa Raya, Siti Aiysha Na'Ilah Harizan di hadapan Majistret Nurul Farahah Mohd Suah.

Semua tertuduh diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan, Nur Hafidza Baharudin.

Iklan

Terdahulu, empat daripada remaja terbabit ditahan serentak kira-kira jam 3 pagi, 1 April lalu di Jalan Air Putih di sini, selepas didapati ingkar arahan PKP dan cuba melarikan diri ketika ditahan.

Kesemua mereka mengaku bersalah dan dibebaskan dengan jaminan RM500 setiap seorang sementara menunggu tarikh sebutan laporan akhlak pada 20 Mei depan.

Iklan

Dalam mahkamah sama, turut mengaku bersalah, lima yang lain termasuk seorang remaja bawah umur berasal dari Sarawak.

Remaja terbabit yang ditahan di Jalan Mahkota di sini jam 9 malam, 1 April lalu turut dibebas dengan jaminan RM500 sementara menunggu tarikh sebutan laporan akhlak 20 Mei ini, manakala empat yang lain berusia 20 hingga 22 tahun didenda antara RM400 hingga RM600 selepas mengaku bersalah atas tuduhan dihadapi.

Sementara itu, seorang lelaki yang menghadapi masalah rumah tangga turut didakwa atas kesalahan sama selepas ditahan polis di sebuah stesen minyak di Jalan Semambu di sini kira-kira jam 10.30 malam, 1 April lalu.

Tertuduh berusia 26 tahun mendakwa singgah di stesen minyak berkenaan untuk tidur dalam kereta selepas bertindak keluar rumah ekoran masalah dihadapi.

Tertuduh yang bekerja sendiri mengaku bersalah dan dihukum penjara tiga hari bermula dari tarikh tangkap dan didenda RM300 atau satu bulan penjara sekiranya gagal menjelaskan denda tersebut.