KANGAR - Rakyat perlu berada di rumah sebagai menghargai pengorbanan petugas barisan hadapan dan berusaha memutuskan rantaian penularan wabak Covid-19.
Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, mahu semua pihak memberikan sokongan berterusan kepada petugas dalam menangani penularan pandemik virus berkenaan.
"Ucapan tahniah dan setinggi penghargaan kepada semua petugas sokongan di hospital dan warga kesihatan yang turut membantu.
"Termasuk pegawai kesihatan awam, petugas cucian, pengawal keselamatan, pengurusan fasiliti, sama ada kerajaan atau badan bukan kerajaan yang berganding bahu menangani wabak, serta anggota keselamatan, perkhidmatan perlu, petugas kebajikan,” titah baginda melalui kenyataan hari ini.
Baginda yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perlis (MAIPs) turut memperkenankan inisiatif ke-10 iaitu sumbangan RM20,000 bagi pembelian tambahan peralatan dan pakej sokongan kepada petugas barisan hadapan Hospital Tuanku Fauziah (HTF) Kangar dan Jabatan Kesihatan Negeri Perlis.
"Inisiatif berkenaan turut melibatkan sumbangan Khidmat Sosial Korporat (CSR) serta tajaan guru tadika Islam Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Perlis (JAIPs) untuk anak-anak petugas yang terpaksa ditinggalkan ketika melaksanakan tugas di hospital,” titah baginda.
Sehingga semalam, MAIPs mengumumkan 10 inisiatif berjumlah RM4.5 juta bagi menangani krisis penularan wabak Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) melibatkan golongan asnaf, terjejas pendapatan, peniaga Muslim, asnaf berdikari, pelajar sekolah serta barisan petugas hadapan kesihatan.