Polis Selangor tambah 42 SJR kawal pergerakan orang ramai

Iklan
Mohd Ismail Muslim

SHAH ALAM - Polis menambah sebanyak 42 sekatan jalan raya (SJR) bagi fasa kedua Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 1 April lalu di semua daerah di Selangor menjadi keseluruhan sebanyak 94 SJR dilaksanakan.

Jurucakap Khas Op Covid-19 Polis Selangor, Asisten Komisioner Mohd Ismail Muslim berkata, semua SJR ini dilaksanakan bagi tempoh 24 jam dengan melibatkan tiga syif penugasan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini mencatatkan peningkatan berbanding fasa pertama iaitu dengan 52 SJR.

"Buat masa ini kita masih lagi menutup 34 laluan alternatif di sekitar Selangor bagi mengekang pergerakan yang tidak melalui laluan SJR pihak berkuasa. Selain itu, kita telah melaksanakan 3,124 'snap check' di semua daerah di Selangor bagi mempertingkatkan orang ramai untuk duduk di rumah.

Iklan

"Kita juga mendapat kerjasama yang baik daripada pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang beri komitmen tinggi dan sokongan logistik di tempat penugasan Ops Covid-19," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Selangor hari ini.

Beliau berkata, sepanjang tempoh PKP ini juga, sebanyak 859 laporan polis diterima berkaitan kesalahan PKP dan 596 kes telah direkodkan untuk siasatan di bawah Peraturan 7(1) serta Peraturan 11(1) Peraturan 11(1) Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 2020.

Iklan

Katanya, selain itu, pihaknya membuat 1,225 tangkapan termasuk 71 wanita yang mana 57 orang daripadanya telah dituduh di mahkamah.

Mengulas mengenai Polis Kontinjen Selangor yang dikuarantin, Mohd Ismail berkata, enam pegawai kanan serta 37 pegawai rendah sedang dikuarantin di rumah masing-masing.

Tambahnya, pada 5 April, sebanyak 12 penerbangan balik rakyat Malaysia dari luar negara melibatkan 1,205 orang dan seramai 903 yang disaring didapati negatif, selebihnya yang disyaki mempunyai simptom telah dihantar ke pusat kuarantin Sungai Buloh.

"Ini melibatkan penerbangan dari Bangkok, New Delhi, London, Jakarta, Doha, Hong Kong, Chennai, Manila, Melbourne, Auckland dan China," katanya.

Tambah beliau, memasuki hari keenam fasa kedua PKP, pihaknya mengekalkan mod tegas dan ketat di semua SJR. Jumlah tangkapan mencatatkan peningkatan dan pihaknya tiada berkompromi sepanjang tempoh PKP ini.

"Saya merakam ucapan penghargaan kepada barisan hadapan yang bertugas dengan mempamerkan kecemerlangan dan ketegasan serta sikap profesional sepanjang melaksanakan tugas," katanya.