SHAH ALAM - Yayasan Keprihatinan Komuniti Malaysia (MCCF) bersama dengan The Giving Bank Organisation menyumbangkan 'aerosol head box' kepada petugas barisan hadapan di Hospital Serdang hari ini.
Pengerusi MCCF, Halim Ishak berkata, ia merupakan salah satu keperluan untuk mencegah penularan jangkitan di kalangan petugas ketika merawat pesakit yang dijangkiti wabak koronavirus (Covid-19).
Iklan
Iklan
"Dana diterima dari MCCF merupakan hasil sumbangan orang ramai untuk membekalkan 'aerosol head box' kepada petugas di hospital perlu dilindungi agar moral dan keselamatan mereka terjamin," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Sementara itu, The Giving Bank Organisation diterajui Datuk Seri Dr Janson Ang Chee Wee yang merupakan rakan kerjasama MCCF turut membekalkan peralatan itu kepada beberapa hospital lain seperti Hospital Kuala Lumpur, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Selayang.
Dr Janson turut berharap semua rakyat Malaysia mematuhi arahan kerajaan untuk kekal berada di rumah.
"Ini dapat membantu usaha kerajaan dan para doktor untuk menyelamatkan lebih ramai individu dijangkiti Covid-19," katanya.
Selain itu, MCCF dan The Giving Bank Organisation turut menyumbang 130 kotak air mineral kepada pihak hospital berkenaan.