Covid-19: Exco Kedah saran wujudkan data bekalan makanan

Iklan
Mohd Asmirul Anuar (kanan) ketika mengagihkan sumbangan topeng muka kepada anggota polis di Balai Polis Alor Janggus.

ALOR SETAR - Kerajaan Persekutuan disaran mewujudkan data bekalan makanan agar negara lebih bersedia menghadapi musibah seperti pandemik koronavirus (Covid-19).

Exco Belia dan Sukan, Pelancongan, Seni dan Budaya, Pembangunan Usahawan Negeri, Mohd Asmirul Anuar Aris berkata, perkongsian data antara Kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri perlu diselaraskan agar kedua-dua pihak bersedia menghadapi sebarang kemungkinan ketidakcukupan bekalan makanan pada masa akan datang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, ini kerana tiada data atau mekanisme yang sistematik digunakan ketika ini dalam negara berdepan krisis.

"Keperluan makanan merupakan aspek penting dalam negara. Semua pihak menyatakan bekalan makanan mencukupi namun tidak dinyatakan secara terperinci.

Iklan

Contohnya, bekalan beras mencukupi untuk berapa bulan? Stok beras import dapat bertahan sehingga bila? Atau makanan apa perlu diimport?” katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Mohd Asmirul Anuar berkata, perkara ini tidak pernah dibincangkan antara kerajaan negeri antara Persekutuan, sedangkan ia penting bagi kelangsungan rakyat.

Iklan

"Sepatutnya apabila berlaku krisis besar dalam negara seperti pandemik Covid-19 ini, wakil kerajaan negeri dan Persekutuan harus duduk bersama bincang alternatif terbaik, selain berkongsi data supaya rakyat tahu apa perancangan dalam memastikan keperluan makanan mencukupi,” katanya.

Menurutnya, data seumpama itu penting ketika negara berdepan musibah yang tidak dijangkakan seperti wabak penyakit atau bencana alam.

"Data keperluan makanan perlu kita selaraskan, dedahkan kepada rakyat sebagai persediaan akan datang. Contohnya, kita perlu ada persediaan atau pelan kecemasan sekiranya Thailand hentikan bekalan import beras, apa penyelesaian kita untuk bekalkan beras kepada rakyat,” katanya.

Mohd Asmirul Anuar berkata, setiap negeri masing-masing membuat persediaan tersendiri tanpa kerjasama menyeluruh daripada Pusat.

"Kita harus berfikir di luar kotak mulai sekarang, jadikan wabak Covid-19 sebagai pengajaran. Sepatutnya maklumat berkaitan makanan asas untuk beberapa tahun akan datang sudah ada sebagai rujukan agar kita bersedia hadapi musibah,” katanya.

Beliau turut melahirkan kebimbangan berhubung aspek pendidikan selepas pasca Covid-19, susulan pemulihan ekonomi dijangka mengambil masa.

"Saya bimbang pelajar tercicir akibat kesempitan keluarga, kita mahu lahirkan pelajar cemerlang namun jika ada ibu bapa terjejas pendapatan, beban kewangan semakin meningkat menyebabkan pelajar ponteng sekolah,” katanya.

Ini kerana, katanya, dianggarkan lebih sejuta rakyat Malaysia bakal hilang pekerjaan sekiranya 10 peratus daripada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) tidak mampu menanggung kos operasi meskipun selepas wabak Covid-19 berakhir.

Berdasarkan kenyataan Presiden PKS, Datuk Michael Kang, banyak syarikat atau pemilik bisnes tidak bersedia menghadapi situasi seperti ini, tidak mustahil 5-10 peratus PKS terpaksa ditutup bagi menanggung kerugian dalam tempoh panjang.

"Untuk pulihkan ekonomi ambil masa, kita harus fikirkan bersama antara Kerajaan Persekutuan, kerajaan negeri, swasta dan NGO,” katanya.