KUALA LUMPUR – Kerajaan akan memberi bantuan sewajarnya kepada gelandangan yang diselamatkan dalam Operasi Bersepadu Gelandangan Covid-19 di sekitar pusat bandaraya, sejak 26 Mac lalu.
Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa berkata, seramai 587 gelandangan yang diselamatkan kini ditempatkan di empat Pusat Penempatan Sementara Gelandangan.
Ia termasuk di Pusat Komuniti Sentul Perdana, Bandar Baru Sentul; Dewan Serbaguna Tasik Ampang Hilir, Desa Pahlawan; Pusat Komuniti Setiawangsa dan Dewan Serbaguna Alam Damai, Cheras.
Menurutnya, daripada jumlah itu 507 dikenalpasti sebagai warganegara manakala selebihnya adalah warga asing.
"Mereka ini tidaklah dibiarkan begitu sahaja, semalam ketika berkunjung ke Pusat Komuniti Sentul Perdana saya dapati keadaan mereka nampak baik, makanan dibekalkan enam kali sehari.
"Masalah kekurangan selimut, kita akan selesaikan esok cuma saya melihat keperluan adakan ‘cubicle’ (bilik kecil) supaya mereka terutama golongan wanita dan yang mempunyai anak kecil ada ruang peribadi,” katanya pada sidang media secara live di Facebooknya hari ini.
Terdahulu, Annuar yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja Keselamatan Wilayah Persekutuan memaklumkan, sementara gelandangan ditempatkan di pusat sementara itu, data golongan itu akan diambil dan direkodkan.
Menurutnya, pihaknya juga akan mengenalpasti sama ada golongan tersebut mempunyai saudara-mara atau keluarga yang boleh dihubungi.
"Saya tak mahu melihat masalah gelandangan berpanjangan tanpa diberi perhatian di Wilayah Persekutuan, jadi kita akan lihat juga jika mereka layak mendapat bantuan ditawar kerajaan.
"Saya bersimpati dengan keadaan mereka, ada mengadu mereka tak ada Mykad kerana hilang dan tak ada duit pula nak buat baharu, sementara mereka berhimpun kita akan cuba bantu,” katanya.
Terdahulu, DBKL menyelamatkan gelandangan di beberapa lokasi panas sekitar bandaraya termasuk Kotaraya, Masjid Jamek, Jalan Masjid India, Jalan Silang dan Jalan Tuanku Abdul Rahman (Jalan TAR) dalam operasi bersepadu melibatkan beberapa agensi sebelum ini.
Kesemua mereka yang ditempatkan di Pusat Penempatan Sementara Gelandangan diberi kelengkapan termasuk tilam, bantal, sabun mandi, sabun basuh baju, ubat dan berus gigi, tuala mandi dan tuala wanita.