Sekretariat Jawatankuasa Khas Covid-19 sokong Prihatin Tambahan

Iklan
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan Pakej Prihatin Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) (Tambahan) di Bangunan Perdana Putra hari ini. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Sekretariat Jawatankuasa Khas Covid-19 mengalu-alukan pakej tambahan berjumlah RM10 bilion bagi membantu meringankan beban kewangan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS).

Setiausahanya, Shahul Dawood berkata, pengumuman itu membuktikan ketelusan dan memahami dengan jelas terhadap masalah yang dihadapi oleh sektor tersebut.

Iklan
Iklan

"Kami mengalu-alukan pakej rangsangan khusus untuk PKS bernilai RM10 bilion termasuk pelbagai peningkatan dan penambahbaikan berdasarkan kepada pengumuman yang dibuat sebelum ini sebanyak RM100 bilion.

"Kerajaan begitu jelas dan telus terhadap pendekatan mereka untuk menangani masalah PKS.

Iklan

"Subsidi upah telah meningkat dari RM600 hingga RM1,200 dengan nilai keseluruhan RM13.8 bilion. Manfaat turut diterima pekerja asing dengan mengurangkan bayaran levi sebanyak 25 peratus akan membantu untuk mengukuhkan kedudukan aliran tunai," katanya menerusi satu kenyataan di sini hari ini.

Hari ini, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengumumkan pakej tambahan berjumlah RM10 bilion bagi membantu meringankan beban kewangan PKS dan menjamin rakyat terus mendapat pekerjaan.

Iklan

Menerusi pakej tersebut, kerajaan telah menambah peruntukan bagi program subsidi upah daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion, iaitu tambahan sebanyak RM7.9 bilion.

Shahul berkata, pemberian geran sebanyak RM3,000 dan pembiayaan mikro tanpa sebarang faedah menerusi Bank Simpanan Nasional dan Tekun Nasional telah memberikan kelegaan kepada komuniti PKS.

"Kerajaan juga dilihat sangat proaktif untuk membolehkan permohonan untuk Bantuan Kemudahan Khas (SRF) melalui portal IMSME dan mengaktifkan Unit LAKSANA di bawah Kementerian Kewangan untuk memantau pakej Prihatin ini," katanya.

Selain itu, beliau berkata, insentif kepada pemilik hartanah menerusi faedah cukai dan moratorium untuk dokumentasi Suruhanjaya Syarikat Malaysia (SSM) adalah langkah yang betul.

"Kami sebagai komuniti perniagaan berharap institusi kewangan dapat memberikan kemudahan SRF supaya dapat membantu mengurangkan masalah aliran tunai jangka pendek yang dihadapi oleh PKS yang terjejas oleh wabak Covid-19," katanya.