Idea kreatif tapi jadi bahan lawak

Iklan

SEPANJANG tempoh Perintah Kawal Pergerakan (PKP) dikuatkuasakan bermula dari 18 hingga 31 Mac lalu, kemudian dilanjutkan hingga 14 April ini, kehidupan kita tiba-tiba berubah dengan ketara.

Ada yang mengeluh panjang kerana hanya mampu duduk di rumah sahaja. Yang lebih sedih, ada yang hilang pendapatan kerana bergaji harian. Tak ada kerja, tak adalah duit. Golongan inilah paling perlu diberi perhatian kerajaan.

Iklan
Iklan

Ketika seisi keluarga duduk dalam rumah 24 jam sehari, perasaan betapa bosannya sukar nak ceritakan. Yang paling bosan tentunya si suami.

Biasanya pagi-pagi sudah keluar rumah kerja, sekarang hanya duduk depan televisyen tengok apa sahaja rancangan yang digemari. Ataupun layan sahaja berita dan video klip dalam WhatsApp.

Iklan

Kerana itulah, atas rasa prihatin, Kementerian Wanita dan Keluarga (KWK) menawarkan beberapa tips menarik buat isteri agar rumahtangga mereka kekal harmoni dan bahagia.

Tips ini boleh dibaca melalui hantaran Instagram rasmi KWK beberapa hari yang lalu. Tips ini berbunyi" Jika melihat pasangan melakukan sesuatu yang bercanggah dengan kehendak kita, elakkan daripada berleter – gunakan perkataan’humorous’ seperti ‘cara sidai baju macam nilah sayangku’( tiru nada Doraemon dan diikuti dengan gelak manja!)”.

Iklan

Tips ini adalah sebahagian daripada kempen KWK mengelakkan pergaduhan suami dan isteri di rumah sepanjang tempoh PKP.

Namun, panduan ini menjadi bahan lawak jenaka oleh ramai rakyat di negara kita. Ia banyak diperkatakan dalam media sosial yang kebanyakan memperlekehkan tips yang tidak masuk akal ini.

Selain tips meniru suara Doraemon, KWK juga ‘mengajar’ wanita yang bekerja dari rumah semasa PKP mengekalkan produktif dan lebih focus pada kerja.

"Elak pakai pakaian rumah. Bertatahias seperti biasa, bersolek dan berpakaian kemas,” nasihat kementerian itu yang kemudiannya menjadi bualan hangat yang rata-ratanya bernada kecaman dan sindiran.

Apa yang menarik, tips-tips daripada KWK ini telah dilaporkan oleh portal-portal dari beberapa buah negara barat. Seperti diduga, selepas ia disiarkan, netizen-netizen di negara-negara barat turut rasa hairan dan rasa lucu bagaimana timbulnya ‘idea kreatif’ berkenaan.

Biarpun tips-tips dalam Instagram KWK itu telah dipadamkan, ia tetap meninggalkan kesan yang kurang elok kepada imej KWK sendiri.

Ia sebenarnya menjadi pengajaran kepada KWK dan semua kementerian secara amnya. Bak pepatah, sesal dulu pendapatan, sesal kemudian tiada berguna.