KUALA LUMPUR- Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin Tambahan) untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) yang bernilai RM10 bilion tepat pada masanya, menurut RHB Research Institute Sdn Bhd.
Ketua Ekonomi ASEAN Peck Boon Soon berkata, jika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), yang dilaksanakan dari 18 Mac hingga 14 April, 2020 tidak dilanjutkan, pakej tersebut akan memberi lebih banyak fleksibiliti kepada PKS untuk menguruskan perniagaan mereka.
"Ia bantuan yang besar untuk PKS, kerana aliran tunai negatif menjadi isu utama semasa PKP.
"Saya fikir ia (Prihatin Tambahan) akan membantu perniagaan untuk mendapat peluang yang lebih baik untuk bertahan dan mengurangkan impak COVID-19 terhadap ekonomi,” katanya ketika dihubungi Bernama.
Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengumumkan tambahan RM10 bilion untuk kumpulan sasaran di bawah pakej rangsangan ekonomi Prihatin Rakyat.
Sebelum ini, Perdana Menteri telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) berjumlah RM250 bilion pada 27 Mac, 2020.
Prihatin Tambahan termasuklah meningkatkan peruntukan untuk program subsidi gaji yang diumumkan pada 27 Mac, 2020 kepada RM13.8 bilion daripada RM5.9 bilion, atau lebih RM7.9 bilion.
Di bawah Prihatin Tambahan, kerajaan turut bersetuju majikan dan pekerja berunding mengenai syarat-syarat pekerjaan termasuk langkah-langkah mengurangkan kos seperti pemotongan gaji dan cuti tanpa gaji susulan PKP.
Ditanya sama ada langkah itu akan menyebabkan lebih banyak pemberhentian dan seterusnya meningkatkan kadar pengangguran di negara ini, Peck menolak kebimbangan tersebut.
"Sekiranya tempoh PKP ini pendek dan dengan bantuan daripada kerajaan, saya yakin sebahagian besar majikan tidak akan mengambil tindakan untuk mengurangkan pekerja mereka," katanya.
Bagaimanapun, Peck berkata, Prihatin Tambahan merangkumi sebanyak 0.7 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
"Jika anda menggunakan unjuran defisit fiskal kerajaan sebanyak empat peratus daripada KDNK, maka ia (defisit fiskal) akan meningkat kepada 4.7 peratus, mengandaikan tiada pendapatan tambahan dari sumber lain untuk mengimbanginya," katanya.
Berdasarkan keadaan semasa negara, beliau berkata firma penyelidikan itu mengekalkan unjuran pertumbuhan KDNK Malaysia pada sifar peratus bagi 2020.-Bernama