Nama saya Seviyeli Roumeli Hissar 1453

Iklan
Bayi perempuan ini diberi nama Seviyeli Roumeli Hissar 1453.

SEMARANG - INDONESIA. Seorang bayi di Purworejo, Jawa Tengah, memiliki nama yang sangat unik.

Bayi perempuan berusia tujuh bulan itu diberi nama Seviyeli Roumeli Hissar 1453 oleh orang tuanya.

Iklan
Iklan

Seviyeli Roumeli Hissar 1453 adalah cahaya mata pertama pasangan Hartadi Sudrajat (41) dan Imah Suciyati (29).

Hartadi berkata, nama tersebut bukan direka secara suka-suka sebaliknya ia mempunyai makna tertentu.

Iklan

"Seviyeli dalam bahasa Turki bermaksud bijaksana. Roumeli Hissar pula sebuah benteng yang terdapat di Istanbul.

"Manakala angka 1453 adalah tahun kejayaan tentera Islam yang dipimpin Muhammad Al-Fatih (Sultan Mehmed II) menakluk Kota Konstantinopel," ujarnya.

Iklan

Katanya lagi, dengan nama tersebut beliau berharap anak perempuannya mampu menjadi anak solehah, bijaksana dan kental seperti benteng di Turki dan memiliki keperibadian seperti Muhammad Al-Fatih.

Beliau mengakui pada awalnya mereka berdepan kesukaran untuk mendaftar nama berkenaan.

Tambahnya, pihak Jabatan Pendaftaran terpaksa berbincang dengan Kementerian Dalam Negeri sebelum meluluskan nama unik tersebut.

Sementara itu, ibu bayi berkenaan, Suciyati berkata pada mulanya beliau berasa agak janggal dengan nama tersebut.

"Pada awalnya terasa pelik. Tapi, nama itu juga kan merupakan satu doa, biarpun kedengaran pelik tapi ia memiliki tujuan yang baik," katanya. - Agensi