PASIR PUTEH - Briged Negaraku Kelantan terus aktif membantu barisan hadapan negara dengan menyerahkan 200 pasang pakaian khas untuk warga Hospital Sultan Ismail Petra, Kuala Krai yang bertugas bagi mengekang penularan wabak Covid-19.
Menariknya, Pengerusi Briged Negaraku Kelantan, Muhammad Arief Mohd Zain memberitahu, kesemua pakaian khas itu disiapkan oleh dua tukang jahit yang bekerja secara sukarela dalam tempoh empat hari.
Muhammad Arief berkata, kesemua pakaian khas tersebut telah diserahkan kepada pihak berkenaan untuk digunakan.
"Alhamdulillah keperluan untuk barisan hadapan dapat disiapkan mengikut tempoh yang dikehendaki bagi membolehkan mereka memberikan khidmat terbaik sepanjang Covid-19 ini," katanya.
Menurutnya, lebih membanggakan mereka mendapat bantuan daripada Alumni Vokasional Tanah Merah yang sanggup melakukannya secara sukarelawan.
Beliau berkata, hasrat mereka adalah memastikan kelengkapan itu sentiasa mencukupi supaya lebih fokus merawat pesakit di hospital.
"Kami akan cuba membantu setakat yang termampu dan berharap masyarakat terus berada di rumah.
"Bagi mereka yang ingin membantu melalui Briged Negaraku boleh menyumbang ke dalam akaun Bank Rakyat 11-112-100873-2," katanya.