KUALA LUMPUR - Orang awam yang sengaja merakam video atau mengambil gambar ketika penugasan anggota polis di sekatan jalan raya (SJJR) boleh dikenakan tindakan tegas.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Abdul Hamid Bador berkata, perbuatan itu adalah tidak bertanggungjawab dan melanggar arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) kerana ia mempunyai dengan niat untuk memberi persepsi negatif dalam media sosial.
"Saya ingin tegaskan bahawa kehadiran anggota polis yang melakukan sekatan jalan raya di seluruh negara bukanlah suka-suka untuk menyekat pergerakan atau menyusahkan orang ramai.
"Sebaliknya mereka (anggota polis) melaksanakan satu misi yang sungguh suci dengan objektif untuk memutuskan rantaian wabak Covid-19 demi keselamatan orang ramai,” katanya kepada Bernama di Bukit Aman di sini baru-baru ini.
Abdul Hamid berkata, pegawai dan anggota polis yang bertugas di sekatan jalan raya amat mudah terdedah untuk dijangkiti Covid-19.
"Oleh itu, mana-mana individu yang berniat untuk berbuat demikian (rakam dan ambil gambar untuk burukkan imej polis) diberi peringatan keras, ingatlah bahawa di luar sana banyak pihak yang memerhati anda untuk ditangkap.
"Sekiranya mereka keluar untuk memberi barangan tiada masalah, tetapi jika sengaja keluar untuk merakam sekatan jalan raya sudah jadi satu kesalahan kerana tugas polis yang menjalankan kewajipannya bukanlah satu bahan untuk difilemkan atau ditayang,” katanya.
Beliau berkata, PDRM juga sentiasa memastikan keselamatan pegawai dan anggota yang bertugas di sekatan jalan raya serta mereka juga perlu mematuhi jarak sosial.
Abdul Hamid berkata, beliau telah turun padang untuk memastikan kesemua anggota mempunyai penutup mulut dan hidung, sarung tangan dan cecair pembasmi kuman ada di setiap sekatan jalan raya.
"Setiap kali mereka menahan kereta, mereka tidak rapat serta sentuh pada bahagian badan kereta dan prosedur operasi standard itu telah ada. Mereka hanya bertanya kepada pemandu hendak ke mana dan selepas itu anggota saya segera membersihkan tangan mereka,” katanya.- Bernama