Peniaga hina Agong didenda RM6,000

Iklan

KUALA LUMPUR - Seorang peniaga dalam talian didenda RM6,000 atau penjara tiga bulan oleh Mahkamah Sesyen di sini hari ini kerana menghina Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dalam laman sosial Facebook, Mac lalu.

Hakim M M Edwin Paramjothy menjatuhkan hukuman itu ke atas Nurhaizad Azhar, 38, selaku Orang Kena Saman (OKS) selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan jurubahasa terhadapnya.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, Nurhaizad didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi yang jelik sifatnya menggunakan laman profil Facebook, Haizad Azhar dengan niat untuk menganiayai orang lain.

Kenyataan itu dibaca dalam laman profil Facebook, Din Radhi di Pejabat Jabatan Siasatan Jenayah Komersial, Ibu Pejabat Polis Bukit Aman, Wangsa Maju pada jam 11.20 pagi, 1 Mac lalu.

Iklan

Lelaki itu didakwa mengikut Seksyen 233 (1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum mengikut Seksyen 233(3) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya dan hendaklah juga didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Annur Atiqah Abd Hadi memohon hukuman berbentuk pengajaran kerana perbuatan Nurhaizad telah mencetuskan kemarahan rakyat di negara ini.

Iklan

"Hukuman itu boleh memberi pengajaran kepada OKS dan rakyat di negara ini supaya lebih sensitif dan berhati-hati apabila ingin menyuarakan pendapat dalam media sosial,” katanya.

Nurhaizad yang tidak diwakili peguam memohon maaf kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan seluruh rakyat Malaysia atas perbuatannya itu.

"Saya memohon mahkamah mengenakan hukuman yang ringan, saya akui kesilapan saya yang terlampau mengikut perasaan kerana kecewa dengan pertukaran kerajaan," rayu Nurhaizad yang kemudian membayar denda itu. - Bernama