Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon 2020 dibatalkan

Iklan

ACARA Kuala Lumpur Standard Chartered Marathon (KLSCM) 2020 yang dijadualkan pada 13 dan 14 Jun depan dibatalkan susulan ketidaktentuan keadaan yang dicetuskan oleh wabak koronavirus (Covid-19) di peringkat global.

Iklan
Iklan

Pengarah Projeknya, Rainer Biemans dalam satu kenyataan berkata, ini kerana keselamatan dan kesihatan pelari, kru penganjur, sukarelawan, petugas perubatan, para pegawai dan polis adalah keutamaan pihaknya.

Beliau berkata, selepas berunding dengan semua pemegang taruh yang berkaitan, penganjur berpandangan bahawa acara tahunan itu tidak seharusnya diteruskan jika aspek keselamatan dan kesihatan semua pihak terbabit tidak dapat dijamin.

Iklan

"Selepas meninjau semua kemungkinan untuk penangguhan acara itu, malangnya kami tidak dapat mencari tarikh dan tempat yang sesuai bagi acara sebesar KLSCM,” katanya dalam satu kenyataan yang dikeluarkan oleh penganjur acara itu Dirigo Events di sini.

"Ini bukan satu keputusan yang mudah kerana kami faham jumlah masa dan persediaan yang dibuat khusus untuk acara tahun ini oleh semua pihak yang terlibat, semuanya amat penting.

Iklan

"Terima kasih kepada semua pelari, sukarelawan dan peminat terhadap sokongan dan kerjasama anda,” katanya.

Biemans berkata, semua acara sampingan seperti Running Clinics, Race Entry Pack Collection (REPC) dan Active Lifestyle Expo bagi KLSCM 2020 juga dibatalkan.

Acara kebajikan, inisiatif Run For A Reason (RFAR) bagaimanapun akan diteruskan sehingga 14 Mei dan semua kutipan hasil acara itu akan diagihkan kepada badan-badan kebajikan yang berkaitan.

"Kami memutuskan bahawa satu-satunya tindakan yang dapat dilakukan adalah membatalkan acara KLSCM tahun ini dan secara automatik menangguhkan semua pendaftaran individu kepada 2021," katanya.

Biemans berkata, pihaknya merancang untuk mengadakan KLSCM 2021 bagi tempoh waktu yang sama seperti tahun ini yakni minggu kedua bulan Jun. - Bernama