KUALA LUMPUR - Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak mencadangkan agar pengundi di Cameron Highlands menuntut janji-janji 100 hari daripada kerajaan PH.
Menurutnya, selepas lebih 200 hari berlalu, Najib merasakan sudah sampai masanya untuk menuntut janji-janji tersebut sebelum pengundi di sana ditabur dengan banyak lagi janji kosong lain sepanjang kempen PRK.
Beliau menulis sedemikian dalam laman Facebooknya dan turut berkongsikan gambar tiga daripada 10 janji 100 hari PH iaitu menghapuskan hutang Felda, Skim Peduli Sihat dan penangguhan bayaran pinjaman Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
"Ketiga-tiga ini adalah antara janji-janji yang sepatutnya ditunaikan Pakatan Harapan dalam 100 hari pertama mereka memerintah.
"Oleh kerana sudah lebih dari 200 hari mereka memerintah, janji-janji ini sudah masak tempoh untuk dituntut.
"Apabila saudara-saudari di Cameron Highlands claim (tuntut) duit minyak di kaunter PH nanti, bolehlah gunting keluar kupon-kupon ini dan serah kepada petugas-petugas mereka untuk dituntut,” katanya.
Malah secara berseloroh Ahli Parlimen Pekan itu turut mengatakan mungkin selepas kupon diserah, mereka boleh mendapat pengecualian membayar PTPTN, dapat Kad Peduli Sihat dan mungkin juga hutang peneroka Felda dapat dihapuskan.
"Selepas serah kupon, mungkin boleh dapat pengecualian untuk membayar PTPTN, boleh dapat kad peduli sihat yang memberi RM500 setiap tahun untuk kos perubatan di semua klinik swasta di Malaysia.
"Manakala saudara-saudari dari Felda boleh dapat penghapusan hutang masing-masing dengan sepenuhnya. Print (cetak). Gunting. Serah.
"Tunjuk saja kupon-kupon ini di kaunter. Mana tahu boleh dapat atau tidak? Belum cuba, belum tahu,” ujarnya sinis.